Ng Sze Han menyerahkan sumbangan makanan asas kepada pengusaha bas sekolah yang terjejas di Taman Tenaga, Puchong pada 18 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Cadang wujud insentif sekali bayar bantu pengusaha bas sekolah

PUCHONG, 18 DIS: Kerajaan Negeri mempertimbang cadangan untuk memberi bantuan sekali bayar kepada pengusaha bas sekolah di Selangor yang terjejas susulan Covid-19.

EXCO pengangkutan berkata penutupan sekolah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac menyebabkan golongan tersebut hilang pendapatan.

“Hari ini saya berjumpa dengan pemandu bas sekolah untuk mendengar rintihan mereka yang mengharapkan bantuan bagi meringankan beban.

“Saya memahami kesusahan mereka dan perkara ini akan dimaklumkan kepada Dato’ Menteri Besar dalam mesyuarat EXCO,” kata Ng Sze Han pada program sumbangan makanan asas di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kinrara hari ini.

Beliau turut berharap semua wakil rakyat mengambil inisiatif membantu pengusaha bas sekolah yang terkesan di kawasan masing-masing.

Sesi persekolahan ditutup susulan PKP bermula 18 hingga 31 Mac dan dibuka semula secara berperingkat pada 15 Julai.

Peningkatan kes Covid-19 menyebabkan sekolah seluruh negara kembali ditutup bermula 9 November hingga hari terakhir persekolahan tahun ini dan akan dibuka semula pada 20 Januari 2021.


Pengarang :