The Queen’s Gambit yang disiarkan Netflix Malaysia bermula 23 Oktober 2020 mencetuskan minat terhadap permainan catur. Foto Instagram Netflix US
RENCANAWAWANCARA

Catur kembali popular gara-gara The Queen’s Gambit

Oleh Vikneswaran Raman

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Siri mini Netflix, The Queen’s Gambit yang ditayangkan sejak 23 Oktober lepas meningkatkan minat terhadap permainan catur di Malaysia, satu trend yang turut berlaku di seluruh dunia.

Ahli jawatankuasa Persekutuan Catur Malaysia (MCF) Muhammad Firdaus Ismail berkata ramai individu, yang sebelum ini tidak mempunyai minat dalam permainan strategi minda itu mula mempelajari dan membeli barangan berkaitan permainan itu sejak siri berkenaan mula ditayangkan secara dalam talian.

“Kita dapat melihat bahawa siri itu telah mempengaruhi ramai penonton untuk belajar lebih mendalam mengenai catur. Ini sekali gus meningkatkan permintaan terhadap barangan permainan catur seperti papan catur dan pelitup muka berkaitan catur, ramai orang baru mula membeli barangan dengan kami,” katanya yang turut mengendalikan Kelas Catur Putrajaya Traju Team.

“Kami difahamkan bahawa pembelian dalam talian juga meningkat, kita melihat topik berkaitan The Queen’s Gambit turut menjadi bualan menerusi media sosial. Namun, kami menjangkakan kehadiran pemain ke kelas yang terkesan akibat pandemik Covid-19 hanya akan pulih dalam beberapa bulan lagi,” katanya kepada Bernama.

Siri The Queen’s Gambit yang diadaptasikan daripada novel fiksyen 1983 hasil karya Walter Tevis, dilaporkan sebagai siri terhad yang paling banyak ditonton, dengan lebih 62 juta akaun mula menontonnya dalam masa 28 hari pertama ia mula disiarkan.

Muhammad Firdaus Ismail yang ditemui di Pusat Catur Traju Team, baru-baru ini bercadang untuk melantik seorang jurulatih berstatus Grandmaster dari luar bagi memantap skuad catur negara. Foto BERNAMA

Berlatar belakangkan era 50-an dan 60-an, siri itu memaparkan kisah seorang wanita, Beth Harmon (lakonan Anya Taylor-Joy) yang mula bermain catur di rumah anak-anak yatim sehingga muncul sebagai pemain terbaik dunia di sebalik bertarung dengan emosi dirinya.

Portal National Public Radio, www.npr.org, dari Amerika Syarikat melaporkan bahawa Goliath Games, sebuah syarikat pengilang dan pembekal barangan permainan antrabangsa yang membekalkan set catur kepada Walmart di negara itu, mencatatkan lonjakan lebih 1,000 peratus dalam penjualan set catur, manakala penjualan dalam talian di eBay pula dikatakan meningkat sebanyak 215 peratus.

Seorang peminat catur di Malaysia, Dasmesh Kaur memberitahu Bernama bahawa siri itu telah mencetuskan minatnya untuk mempelajari catur dengan lebih mendalam dan memberi inspirasi kepada dirinya.

“Ia sangat kompleks, tetapi memuaskan hati untuk ditonton. Ia (siri itu) membantu untuk mempelajari pergerakan catur yang kompleks, pergerakan pemain dan pihak lawan… Tidak pernah saya lihat catur dalam perspektif begini sebelum ini,” katanya.

Pencarian di Google Trend turut menunjukkan pencarian untuk kata ‘chess’ dan ‘gambit’ (bermaksud langkah umpan) meningkat bermula awal November sebelum mula mengalami trend penurunan bermula awal bulan ini.

Sementara itu, Muhammad Firdaus yang juga pengurus pasukan catur negara, berkata pihaknya sedang mengatur langkah untuk meningkatkan pencapaian pada Sukan SEA Vietnam hujung tahun depan, selepas berjaya meraih emas sulung pada edisi lepas.

Salah satu babak dalam siri The Queen’s Gambit. Foto Instagram The Queen’s Gambit Netflix

Beliau berkata MCF telah mewujudkan Program Pelapis Kebangsaan bermula bulan lepas, iaitu program persediaan bagi edisi Hanoi 2021 yang lebih rapi untuk mengenal pasti bakat baharu dan melatih mereka, dengan seramai 10 pemain catur berumur bawah 21 tahun telah dikenal pasti setakat ini.

MCF juga bercadang untuk melantik seorang jurulatih berstatus Grandmaster dari luar negara menjelang temasya itu untuk memantap skuad negara, kerana Malaysia masih belum ada seorang pun pemain yang mencapai gelaran tertinggi itu daripada Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE), katanya.

Selain Yeoh Li Tian, 21, yang meraih pingat emas acara Rapid Chess lelaki di Filipina, seorang lagi pemain muda Wong Yin Long, 18, turut menjadi sandaran pingat negara di Hanoi.

Di Filipina, Yeoh berjaya menamatkan kemarau pingat emas negara dalam catur sejak sukan strategi minda itu dipertandingkan buat kali pertama pada edisi 2003 di Vietnam. Malah, sepanjang empat kali (2003, 2005, 2011, 2013) catur dipertandingkan di Sukan SEA, skuad negara sekadar meraih sejumlah lima gangsa sahaja.

-BERNAMA

 


Pengarang :