AGENDANASIONAL

Covid-19: 1,340 kes baharu, jumlah keseluruhan kini 93,309

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Kes positif Covid-19 di Malaysia terus mencatatkan empat digit dalam tempoh 24 jam lepas, apabila 1,340 kes baharu direkodkan hari ini dan Selangor kekal melaporkan kes baharu tertinggi dengan 441 kes.

Perkembangan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini melonjak kepada 93,309 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini sebanyak 15,563 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu hanya tiga kes merupakan kes import, sementara 1,337 kes adalah penularan dalam negara.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan 284 kes, Sabah (196 kes), Negeri Sembilan (169 kes), Johor (156 kes), Pulau Pinang (30 kes), Wilayah Persekutuan Labuan (27 kes) dan Pahang dengan 12 kes.

“Sementara Perak dengan 10 kes, Kedah (enam kes) dan Sarawak (tiga kes), manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Terengganu masing-masing dua kes, selain satu kes di Melaka dan Kelantan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata 134 kes atau 10 peratus daripada kes baharu hari ini melibatkan kluster di penjara dan depot tahanan imigresen iaitu kluster Penjara Jalan Harapan di Selangor dengan 58 kes, kluster Tembok Gajah, Johor (56 kes), kluster Tembok, Kedah (10 kes), kluster Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang (lapan kes) dan kluster Penjara Kepayan, Sabah (dua kes).

Sementara itu, terdapat empat kematian baharu akibat Covid-19 melibatkan tiga warganegara dan satu warga asing dilapor, menjadikan jumlah maut kini 437 kes.

Beliau berkata kematian ke-434 (kes 63,582) adalah lelaki tempatan berumur 63 tahun di Hospital Sungai Buloh, Selangor dengan latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung, strok dan obesiti, sementara kematian ke-435 (kes 70,071) juga lelaki tempatan berusia 67 tahun di Hospital Pulau Pinang dengan penyakit darah tinggi.

“Di Sabah, kematian ke-436 (kes 72,925) melibatkan lelaki tempatan berumur 78 tahun di Hospital Tawau dengan penyakit darah tinggi dan jantung, sementara kematian ke-437 (kes 91,013) lelaki warga asing berusia 77 tahun di Hospital Duchess of Kent, Sandakan,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 1,067 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 77,309 kes atau 82.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sehingga kini, terdapat 116 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 57 kes memerlukan bantuan pernafasan.

– BERNAMA


Pengarang :