Petugas kesihatan membuat saringan Covid-19 ke atas penduduk Klang di Taman Bayu Perdana pada 23 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: 392 kes baharu di Selangor, 322 pesakit sembuh

SHAH ALAM, 27 DIS: Kes baharu Covid-19 di Selangor menurun kepada 392 jangkitan berbanding 710 yang direkodkan semalam, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negeri itu mencatat kes harian tertinggi iaitu 32.8 peratus daripada keseluruhan jangkitan dalam negara.

“Sebanyak 237 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Dua kes import mendapat jangkitan dari luar negara dan 153 jangkitan daripada lain-lain saringan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata dua kes import di Hulu Selangor membabitkan individu yang baharu pulang dari India.

Menurut jabatan, bilangan pesakit pulih bertambah kepada 322 menjadikan keseluruhan sembuh 18,904.

“Kes kematian kekal 39 orang dan jangkitan aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 10,329,” katanya di Facebook.

Hari ini, kes positif dalam negara kekal empat angka namun menurun berbanding semalam apabila merekodkan 1,196 jangkitan menjadikan keseluruhan 105,096 dan satu kematian.

 


Pengarang :