RENCANAWAWANCARA

Covid-19 ancaman terhadap usaha pengurangan plastik harian

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 7 DIS: Sisa plastik yang sepatutnya berkurangan seperti yang dirancangkan kini meningkat susulan Covid-19, hingga ia dilihat boleh memberi ancaman terhadap usaha berhubung alam sekitar negara ini.

Dari topeng perubatan hinggalah bekas plastik makanan, para pakar melaporkan terdapat peningkatan sisa plastik.

Sejak bermulanya pandemik itu, apabila arahan duduk rumah semakin berkesan, orang ramai telah mula beralih budaya kehidupan mereka kepada pembelian dalam talian dan mendapatkan makanan, bahan dapur dan barangan lain dihantar terus ke depan pintu.

Penggunaan pembungkusan plastik dilihat meningkat terutama dalam kategori penghantaran makanan apabila penjual berusaha untuk mengurangkan kos dan pada masa yang sama memastikan keselamatan makanan.

“Dengan melihat perubahan tingkah laku dan amalan semasa Covid (pandemik), anda dapat melihat penggunaan plastik akan meningkat,” kata Pengerusi Eksekutif Waste Management Systems Sdn Bhd Datuk Mizan Yahya.

Sisa plastik kebiasaannya merangkumi kira-kira 13 peratus daripada semua sisa pepejal perbandaran di Malaysia.

Berbahaya

Plastik, selain ia amat berguna, bergaya dan tahan lama, ia adalah berbahaya. Dengan begitu banyak kegunaan yang dinyatakan itu, kemungkinan orang awam menghentikan penggunaannya adalah tipis.

Sejak dicipta pada 1869, bahan itu telah tersebar luas, muncul dalam setiap barang harian dari kosmetik hinggalah kereta.

Setakat Ogos tahun ini, menurut Persatuan Pengilang Plastik Malaysia, pengeluaran plastik telah bertambah sebanyak 0.7 peratus berbanding lima peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

“Plastik menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Dari kepala hingga ke hujung jari kaki,” kata Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Prof Dr Ahmad Ismail.

Plastik tahan selama-lamanya dalam alam sekitar; tidak hancur walaupun selepas lama ia digunakan. Mengikut konteksnya, kita kini hidup dengan sampah plastik yang dihasilkan pada akhir abad yang lepas.

Satu kajian oleh Arizona State University mengenai organ manusia yang disiarkan pada Ogos mengesahkan bahawa mikroplastik ada dalam tubuh kita dan kajian juga mendapati ada plastik dalam badan binatang.

Apabila pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac, banyak perniagaan dalam makanan dan industri minuman menyedari ini bermaksud penggunaan plastik yang lebih banyak dan seterusnya sisa plastik akan bertambah. Sesetengah mengambil langkah seperti mengehadkan penggunaan produk plastik apabila menghidang kepada pelanggan dengan mengguna bekas diperbuat daripada kadbod untuk pesanan makanan bawa pulang dan tidak lagi plastik dan meminta pelanggan tidak lagi mengguna sudu dan garfu plastik.

Sebahagian sisa buangan yang terdapat didalam kontena ketika liputan menghantar semula sisa plastik kepada pengeksport di Pelabuhan Barat pada 7 Jun 2019. Foto BERNAMA

Namun begitu, tidak banyak dapat dilakukan untuk menghentikan sepenuhnya plastik jika melibatkan perkhidmatan bawa pulang dan penghantaran, melainkan jika mereka mahu mempertaruhkan keselamatan makanan dan mengurangkan risiko penularan Coronavirus.

“Kami sering menumpukan kepada pembungkusan yang mesra alam,” kata pengasas Epic Food Hall, Lai Wick Kee, dan menambah bahawa mereka membungkus makanan jualan mereka dalam bungkusan kadbod untuk pesanan bawa pulang dan penghantaran.

“(Bagaimanapun) kami masih menggunakan plastik tetapi plastik kami adalah plastik yang boleh terurai. Sebelum ini, kami menggunakan beg kertas tetapi untuk penghantaran, ia agak mencabar… pada hari hujan, air hujan akan membasahi beg kertas itu,” katanya.

Katanya lagi, memandangkan restoran mempunyai margin keuntungan yang kecil, ia bukanlah satu yang lumrah bagi vendor terutama yang kecil untuk mengguna pembungkusan plastik daripada bekas lebih mahal dan kertas serta kadbod yang kurang selamat untuk mengedarkan makanan mereka.

Satu lagi penyumbang terhadap peningkatan sisa plastik ialah kekurangan bungkusan alternatif.

“Anda membeli banyak lagi makanan berbungkus. Selepas habis makan, berlaku lebih banyak sisa daripada isi rumah. Dan umumnya, kebanyakan pembungkusan kini dalam plastik,” kata Mizan.

Pakar pengurusan sisa itu menambah bahawa tidak banyak insentif untuk mengurangkan penggunaannya kerana kos yang rendah dan kelebihan plastik.

Komplikasi

Jadi orang ramai mengguna lebih banyak produk plastik semasa pandemik itu. Tetapi tidak bolehkah mereka lakukan kitar semula dengan lebih lagi untuk menebusnya?

Tidak tepat, kata pakar dan pemain industri.

Pada 17 Nov, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dilaporkan berkata bahawa pungutan sisa untuk kitar semula meningkat kepada 2,188.95 tan metrik dari Januari hingga September tahun ini berbanding 1,546.81 tan metrik dalam tempoh yang sama tahun lepas. Beliau juga berkata pungutan sisa untuk kitar semula telah mencecah lebih 30 peratus tahun ini.

Pengarah Solid Waste and Public Cleansing Management Corporation (SWCorp Malaysia) Wilayah Persekutuan, Mohd Zahir Shari berkata, kitar semula meningkat kerana orang ramai menghabiskan lebih banyak masa di rumah dan oleh itu, lebih banyak masa untuk memproses dan mengasingkan sampah mereka untuk dikitar semula.

Bagaimanapun, pandemik itu juga mewujudkan komplikasi lain dalam kitar semula dan pengurusan sisa.

“Kitar semula meningkat semasa PKP. Tetapi anda harus terus melakukannya,” katanya.

Akhirnya, ia tidak cukup untuk mengimbangi peningkatan penggunaan plastik.

Satu daripada komplikasi itu ialah banyak produk plastik yang dilihat meningkat penggunaannya adalah tidak boleh dikitar semula. Contohnya, pelitup muka dan bekas makanan yang masih mempunyai sisa makanan.

Satu lagi, pandemik itu telah mematikan penyumbang kitar semula secara tidak rasmi di Malaysia: pemulung yang mengumpulkan barang kitar semula dari isi rumah, di tempat pembuangan sampah dan di jalanan.

Mizan berkata, ramai pemulung tidak lagi dapat meneruskan aktiviti mereka semasa pandemik kerana bimbang jangkitan atau terdedah kepada coronavirus, dan menambah ia menjejaskan usaha Malaysia untuk mengurangkan sisa plastik.

“Oleh kerana ada kontek, orang ramai bimbang bahawa plastik selepas penggunaan semula boleh menyebabkannya terdedah kepada unsur bahaya, jangkitan atau Covid-19. Jadi, tiada siapa lagi berminat untuk memungut plastik dari sampah umum lagi,” katanya.

Usaha untuk mengimbangi lonjakan produk plastik dengan menggunakan produk plastik dengan label mudah terurai tidak semestinya berfungsi.

“Sesetengah orang menyatakan bahawa ia boleh mudah terurai tetapi hanya boleh terurai dalam keadaan tertentu. Contohnya, ada cukup oksigen, cukup sinar matahari… tetapi plastik yang sama yang direndam di dalam air tidak akan terurai secara biodegradasi,” kata Mizan.

Apa yang tidak dapat atau tidak dapat dikitar semula berakhir di tempat pembuangan sampah atau di beberapa tempat pembakaran.

Selebihnya sama ada melalui pembuangan sampah atau pembuangan sampah haram, berakhir di lautan, menurut Prof Dr P. Agamuthu, pakar pengurusan sisa pepejal di Pusat Jeffrey Sachs Mengenai Pembangunan Mampan, Universiti Sunway, Sunway.

Usaha alam sekitar

Mengakui risiko pencemaran plastik dan mikroplastik, kerajaan melancarkan Roadmap Towards Zero Single-Use Plastics pada 2018, yang bertujuan untuk membasmi plastik sekali guna dalam 10 tahun.

Walaupun dilancarkan tahun ini, pendidikan masyarakat dan mesej kesedaran belum berjalan dengan lancar. Bagaimanapun aspek lain dari Roadmap itu seperti caj pencemaran untuk beg plastik dan pemberian sedutan plastik hanya berdasarkan kepada permintaan, menjadi satu polisi di semua negeri.

Bagaimanapun, kebanyakan pakar berpendapat bahawa usaha yang dilaksanakan buat masa sekarang terlalu lemah atau terlalu sedikit dengan mempertimbangkan berapa banyak penggunaan plastik yang dicetuskan semasa COVID-19. Mereka menyatakan bahawa komitmen yang diperlukan untuk melakukan perubahan untuk mengurangkan plastik dan melindungi alam sekitar bergerak dengan agak perlahan.

“Jika anda ingin mencapai pengurangan nyata dalam penggunaan plastik, larangan (pada plastik sekali pakai seperti beg plastik) harus menjadi larangan sepenuhnya. Kita tidak seharusnya hanya bercakap mengenai mengharamkan plastik atau caj plastik. Kita harus memberi pengganti agar mereka mempunyai pilihan lain,” kata Agamuthu.

Beliau berkata, Malaysia perlu mengembangkan pilihan lain untuk mengurangkan plastik seperti mengikuti contoh China dan menggunakan bahan organik untuk menggantikan plastik.

Mizan menyuarakan sentimen Agamuthu, menyatakan komitmen untuk perubahan diperlukan kerana setiap generasi menjadi lebih peka terhadap masalah alam sekitar.

“(Generasi muda) lebih sedar tetapi tidak diterjemahkan ke dalam tindakan. Faktor ekonomi inilah yang mendorong tingkah laku mereka,” katanya.

Ahmad bersetuju dengan berkata bahawa beliau tidak menyedari perbezaan penggunaan plastik antara generasi tua dan muda.

Justeru itu, beliau berkata kerajaan dan kumpulan yang berminat harus lebih agresif dalam mengubah pemikiran dan sikap masyarakat terhadap plastik.

“Kita perlu mendidik orang ramai untuk mengubah cara hidup mereka,” katanya.

Beliau mengakui bahawa mengubah pemikiran adalah pertempuran yang sukar dengan mengutarakan pengalaman kumpulan itu di Pulau Ketam, Selangor.

MNS mempunyai projek untuk mendidik penduduk dan membersihkan Pulau Ketam, yang berhadapan dengan masalah sampah yang banyak berpunca daripada simpanan sampah dari daratan dan penduduknya.

“Orang ramai tidak melihat (keperluan untuk melindungi alam sekitar) sehingga (sesuatu yang buruk) terjadi di depan mata mereka,” katanya.

 

– BERNAMA


Pengarang :