Seorang pengunjung melihat replika Covid-19 pada Ekspo Kesihatan Dunia di Wuhan, China pada 11 November 2020. Foto AFP
PENDAPATRENCANA

Covid-19 bayangi rencah kehidupan dunia sepanjang 2020

Oleh M. Saraswathi

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Memandangkan banyak berita yang ditulis memaparkan mengenai kisah malang tahun duka 2020, mesej-mesej positif yang disampaikan figura penting Krismas Santa Klaus di media sosial telah menjadikan suasana yang suram lebih optimis dan mengujakan.

Santa merujuk perjuangan global untuk membendung penularan pandemik Covid-19 ketika ini sebagai ‘satu situasi yang sangat istimewa’.

Menerusi video berdurasi 43 saat dari Rovaniemi, Finland, Santa Klaus menyampaikan mesej kepada kanak-kanak di seluruh dunia yang bimbang ketiadaan sambutan Krismas, dengan memberi jaminan kepada mereka bahawa persiapan di Arctic Circle di Lapland berjalan sangat lancar dan semuanya berkeadaan baik dan mematuhi peraturan penjarakan fizikal. Seperti yang diketahui ramai, Rovaniemi adalah kampung halaman ‘rasmi’ bagi Santa Klaus.

Sememangnya 2020 adalah tahun yang istimewa dari pelbagai segi. Pertamanya, ia telah menyedarkan kita tentang kepentingan penjagaan kebersihan diri dan sanitasi.

Amat malang sekali dalam laporannya yang bertajuk ‘Hand Hygiene for All’, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata tiga bilion orang – 40 peratus daripada penduduk dunia – di rumah mereka tidak mempunyai tempat untuk membasuh tangan dengan air dan sabun.

Tiga suku daripada mereka ini tinggal di negara-negara paling miskin di dunia dan merupakan antara golongan yang paling rentan: kanak-kanak dan keluarga yang tinggal di kawasan penerokaan haram, migran dan kem pelarian atau di kawasan yang sentiasa berkonflik.

Ini menjadikan kira-kira 1 bilion orang berdepan risiko dijangkiti Covid-19, hanya kerana mereka kekurangan atau tiada kemudahan asas seperti tempat untuk membasuh tangan.

Justeru, pandemik Covid-19 adalah peringatan yang jelas kepada kita bahawa satu daripada cara paling efektif untuk menghentikan penularan virus adalah amat mudah sekali iaitu kebersihan tangan. Ia bukan sahaja melindungi kita daripada dijangkiti penyakit tetapi juga mencegah penularannya kepada orang lain, demikian dedah laporan WHO tersebut.

Di Malaysia, pelaburan dalam sektor sanitasi bermula sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957. Walaupun masih ada cabaran yang perlu ditangani, seperti kekerapan gangguan bekalan air tidak berjadual dan pencemaran sungai, majoriti 32 juta penduduk di negara ini mempunyai akses kepada keperluan sanitasi asas.

Satu kajian pada tahun 2000 oleh WHO dan Pogram Pemantauan Bersama bagi Bekalan Air, Sanitasi dan Kebersihan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mendedahkan bahawa 98 peratus daripada penduduk bandar dan 94 peratus daripada penduduk luar bandar mempunyai akses kepada sanitasi asas.

Keduanya, 2020 mengajar kita untuk lebih bersyukur.

Semasa komentar ini ditulis, kes Covid-19 di Malaysia telah melepasi angka 100,000 ribu orang dengan 18,773 kes aktif dan meragut 446 nyawa.

Antara kisah yang paling tragis adalah satu kes sekeluarga di Sarawak yang kehilangan tiga anggota keluarga akibat Covid-19 pada April dan kematian mangsa paling muda di Malaysia seorang budak perempuan berusia setahun di Sabah.

Sekatan pergerakan yang dilaksanakan bagi membendung penularan virus itu juga telah menjejaskan mata pencarian beribu-ribu orang di Malaysia.

Seorang pekerja asing diperiksa suhu badan ketika beratur untuk pemeriksaan dengan pihak berkuasa kesihatan di pasar baharu susulan penularan Covid-19 di Bangkok, Thailand pada 22 Disember 2020. Foto REUTERS

Kadar pengangguran melonjak setinggi 5.3 peratus pada Mei. Walaupun kadar itu menyusut kemudiannya selepas aktiviti ekonomi dibuka secara berperingkat dan pelbagai langkah rangsangan ekonomi dan inisiatif diperkenalkan kerajaan, tidak dinafikan bahawa sesetengah perniagaan dan pekerjaan masih terdedah kepada kesan daripadanya, terutamanya sektor penerbangan dan pelancongan.

Sehingga dan melainkan sempadan dibuka semula dan sekatan perjalanan ditarik balik, sektor ini berdepan cabaran yang sukar untuk pulih kembali. Menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), syarikat penerbangan dijangka mengalami kerugian US$84.3 billion (US$1=RM4.07) tahun ini, menjadikannya tahun paling buruk dalam sejarah penerbangan dengan trafik udara dijangka hanya pulih sepenuhnya sehingga 2024.

Oleh itu, sekiranya anda berjaya mengharungi 2020 tanpa ada ahli keluarga ataupun rakan-rakan dijangkiti virus itu, kehilangan nyawa atau pekerjaan atau malahan terpisah disebabkan penutupan sempadan – anda seharusnya bersyukur.

Ketiga, 2020 jelas memperkukuhkan lagi hakikat bahawa rakyat Malaysia sememangnya berhati mulia.

Bagi rakyat Malaysia, tidak kira sama ada ia kedai mi bekas juruterbang, nasi lemak budak tanpa lengan, atau pelajar yang bergelut melawan kanser untuk meneruskan kehidupan ataupun warga emas yang membuat kerja penghantaran makanan – jika mereka memerlukan bantuan, rakyat Malaysia akan sentiasa membantu.

Suatu yang mengujakan apabila membaca pelbagai kisah segenap lapisan masyarakat yang memberi sumbangan bukan sahaja dalam bentuk kewangan tetapi juga dari segi perlindungan dan sokongan emosi.

Pelbagai kumpulan sokongan masyarakat juga muncul ibarat cendawan sepanjang tahun ini. Antara yang terawal ditubuhkan adalah pada permulaan perintah kawalan pada Mac lepas dengan kira-kira 500 ahli dan membuka laman “caremongering” di platform media sosial Facebook, bagi membantu golongan rentan.

Ia menyeru golongan muda untuk membantu dengan memeriksa keadaan jiran-jiran mereka, terutamanya golongan warga emas, membeli barangan keperluan untuk mereka serta mendapatkan ubatan daripada farmasi semasa perintah kawalan pergerakan selama tujuh minggu itu.

Walaupun selepas perintah kawalan pergerakan ditarik balik, kumpulan itu masih meneruskan aktiviti mereka memberi bantuan kepada masyarakat yang memerlukan. Perilaku ini mengukuhkan lagi kepercayaan terhadap kemanusiaan dan rakyat Malaysia rata-ratanya sememangnya mempunyai hati emas.

-BERNAMA


Pengarang :