Petugas kesihatan meletakkan sampel saringan Covid-19 ke panel khas ‘buffer tube’ untuk mengesan jangkitan virus dengan pantas menggunakan mesin analisa Standard F200 SD Biosensor ketika program Saringan Komuniti di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Covid-19 catat 1,600 kes baharu, dua kematian

SHAH ALAM, 7 DIS: Sebanyak 1,600 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan Negeri Sembilan mencatatkan kes tertinggi iaitu 541.

Ketua pengarah kesihatan berkata Selangor pada kedudukan kedua dengan 426 kes manakala Sabah merekodkan 248 kes.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keseluruhannya sebanyak 74,294 kes direkodkan di seluruh negara dengan 11,604 kes aktif.

“Secara keseluruhan, 584 kes (36.5 peratus) yang dilaporkan hari ini berkaitan kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara membabitkan Kluster Bakti (500 kes) dan Kluster Tembok (49).

“Sementara Kluster PTS Sibuga mencatatkan 17 kes, Kluster Penjara Seberang Perai (lapan), Kluster Matambai (tujuh), Kluster Penjara Jalan Harapan (dua), dan Kluster GK Tawau (satu),” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 1,033 pesakit berjaya sembuh menjadikan jumlah kes pulih 62,306. Sementara sebanyak 129 kes dirawat di unit rawatan rapi dan 57 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau memaklumkan dua lagi kematian dicatatkan hari ini menjadikan jumlah yang maut sebanyak 384 kes atau 0.52 peratus daripada keseluruhan kes.

 


Pengarang :