Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 25 November 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19 catat 1,925 kes baharu, peningkatan mendadak di Pahang

SHAH ALAM, 29 DIS: Sebanyak 1,925 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan kes 108,615 dengan 21,443 daripadanya kes aktif.

Ketua pengarah kesihatan memaklumkan Selangor kekal melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 747 kes atau 38.8 peratus daripada keseluruhan kes.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 625 kes (83.7 peratus) daripada kluster dan saringan kontrak rapat yang aktif di lapangan.

“Ini diikuti oleh Kuala Lumpur sebanyak 360 kes dan Pahang (288). Peningkatan kes di Pahang dipengaruhi oleh kluster penjara iaitu Kluster Tembok Mempaga yang melaporkan 282 kes.

“Sebanyak 307 kes pula berkaitan kluster lokap, depot tahanan imigresen dan penjara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Negeri lain meliputi Sabah (230 kes), Johor (110), Negeri Sembilan (60), Pulau Pinang (57), Kelantan (31), Perak (17), Melaka (sembilan), Kedah (lapan), Sarawak (empat), Terengganu (dua), Putrajaya (dua) manakala Labuan dan Perlis masing-masing sifar kes.

Dr Noor Hisham berkata bilangan kes sembuh hari ini mencatatkan 1,123 kes menjadikan jumlah yang sembuh sepenuhnya sebanyak 86,715 kes.

Beliau berkata sehingga kini terdapat 117 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dan 55 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua lagi kes kematian menjadikan jumlah yang maut setakat ini ialah 457 kes,” katanya lagi.


Pengarang :