Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah ketika mengadakan lawatan kerja di PKPD di Jalan Teratai, Klang pada 28 November 2020. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENSISELANGOR

Covid-19 di Klang melonjak tiga kali ganda, rekod 794 kes baharu

SHAH ALAM, 1 DIS: Kes baharu Covid-19 di Klang melonjak naik lebih tiga kali ganda iaitu 794 kes hari ini berbanding 228 semalam.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata daripada jumlah itu, mukim Kapar merekodkan jumlah tertinggi dengan 777 kes berpunca dari Kluster Teratai, sementara mukim Klang dengan 17 kes.

Menurutnya, Petaling menjadi daerah kedua tertinggi dengan 47 kes, daripada jumlah itu mukim Damansara mencatatkan kes tertinggi dengan 27 kes diikuti mukim Sungai Buloh dengan lapan kes.

“Daerah Hulu Langat pula 27 kes, diikuti Gombak dengan lapan kes, Kuala Langat (7) dan Sepang (4).

“Sementara Kuala Selangor pula dua kes, Sabak Bernam dan Hulu Selangor masing-masing dengan satu kes,” kata jabatan itu menerusi kenyataan di Facebook.

Hari ini Selangor merekodkan 891 kes baharu positif Covid-19 dan Kluster Teratai menjadi penyumbang terbesar jumlah berkenaan dengan 778 kes.


Pengarang :