Imej komputer yang dihasilkan oleh Nexu Science Communication bersama Kolej Trinity College di Dublin menunjukkan struktur model betakoronavirus, yang dikaitkan dengan Covid-19, dikongsi bersama REUTERS pada 18 Februari 2020.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Jumlah kes lebih 100,000 sejak virus tular

SHAH ALAM, 24 DIS: Sebanyak 1,581 kes baharu Covid-19 dicatatkan hari ini, dengan jumlah terkumpul 100,318 kes sejak pertama kali dilaporkan di negara ini pada 25 Januari.

Ketua pengarah kesihatan berkata daripada jumlah kes baharu itu, Selangor kekal merekodkan kes harian tertinggi iaitu 491 kes atau 31.1 peratus.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 375 kes (76.4 peratus) di negeri itu daripada kluster dan saringan kontrak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Kuala Lumpur sebanyak 379 kes (24.0 peratus), Sabah 249 kes (15.7 peratus) sementara 270 kes (17.1 peratus) berkaitan kluster lokap dan penjara,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memaklumkan seramai 1,085 pesakit berjaya sembuh menjadikan bilangan yang pulih daripada Covid-19 ialah 81,099 kes atau 80.8 peratus daripada keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini terdapat 102 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 45 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 446 kes atau 0.45 peratus daripada keseluruhan kes,” katanya lagi.

 


Pengarang :