Petugas kesihatan membuat saringan Covid-19 ke atas penduduk Klang di Taman Bayu Perdana pada 23 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: KKM kesan dua kluster baharu di Selangor

SHAH ALAM, 26 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua daripada 11 kluster Covid-19 hari ini di Selangor, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster Plastik Subang dan kluster Jalan Asam masing-masing tercetus di Petaling serta Klang membabitkan tempat kerja.

“Kes bagi kluster Plastik Subang dilapor positif pada 23 Disember melalui saringan bersasar sebuah kilang. Sehingga hari ini, 354 individu disaring dengan 111 daripadanya positif.

“Jangkitan kluster Jalan Asam pula dilapor positif pada 19 Disember melalui saringan sama. Setakat ini, sejumlah 713 individu disaring dengan 13 kes positif,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, beliau memaklumkan baki sembilan kluster di negara ini adalah kluster Tapak Bina Jalan Seng (Titiwangsa, Kuala Lumpur); kluster Pagar Siput (Kota Tinggi, Johor); kluster Halban (Kota Bharu, Kelantan) dan kluster Lis Putih (Barat Daya, Pulau Pinang).

Katanya kluster Sentosa Residensi di Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang; kluster Seragam Chepa (Kota Bharu, Bachok dan Tumpat, Kelantan); kluster Pagar Bentong (Bentong, Pahang); kluster Sungai Redan (Kota Tinggi, Johor) dan kluster Semambu (Kuantan, Pahang).

 


Pengarang :