Selangorkini
Orang ramai mempraktikkan pemakaian pelitup muka bagi membendung penularan Covid-19 ketika tinjauan masyarakat awam yang menggunakan pelitup muka sebelum 1 Ogos di Jalan Bukit Bintang pada 26 Julai 2020. Kompaun RM1,000 boleh dikenakan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan terbaharu itu. Foto: BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KKM laksana semua langkah penting

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan ia telah mengambil semua langkah penting dalam menjangkakan beberapa unjuran yang dilakukan oleh pelbagai organisasi antarabangsa mengenai situasi pendemik Covid-19 di Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam kenyataan semalam berkata pada fasa awal pandemik, JP Morgan dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) meramalkan jumlah kes Covid-19 pada pertengahan April akan meningkat antara 5,000 dan 8,000 secara kumulatif.

Berikutan itu katanya, pelbagai intervensi kesihatan awam dilakukan menyebabkan bilangannya lebih rendah berbanding ramalan badan tersebut dan pada hakikatnya, jumlah kes yang dilaporkan hanyalah 4,987.

“Pada November, Imperial College United Kingdom mengunjurkan kes harian baharu yang dikesan di Malaysia antara 4,000 hingga 7,000 pada November dan Disember. Bagaimanapun dengan pelbagai intervensi yang dijalankan kerajaan, kes harian baharu hanya mencecah 1,000 hingga 2,000 sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada artikel berita, Putrajaya Bracing for the Worst as Lack of Beds, Manpower Threatens Covid Battle, yang disiarkan dalam portal berita hari semalam.

Dr Adham berkata baru-baru ini, Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan (IHME), Amerika Syarikat mengunjurkan kes harian baharu akan mencecah 5,000 pada Februari 2021.

“Dalam menjangkakan ramalan ini, KKM sentiasa memantau dan meningkatkan pelbagai strategi, langkah dan intervensi. Kementerian telah meningkatkan kapasiti hospital dan mewujudkan lebih banyak Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Selaras dengan itu, MAEPS 2.0 telah diwujudkan dengan kapasiti yang lebih tinggi untuk menampung peningkatan kes dengan penambahan katil sehingga 10,000,” katanya.

Menurut Dr Adham, pada masa ini keadaan di Malaysia masih terkawal sementara KKM telah mempertingkatkan dan menyediakan pelbagai intervensi kesihatan awam serta memastikan kesiapsiagaan hospital dalam menjangkakan peningkatan jumlah kes seperti yang diramalkan IHME.

Setakat kelmarin katanya, terdapat 25,456 katil secara keseluruhan bagi kes Covid-19 di hospital dan PKRC, dengan kadar penggunaan sebanyak 43 peratus manakala terdapat 871 katil di unit rawatan rapi (ICU) dengan penggunaan semasa 159 katil (18 peratus) bagi pesakit Covid-19.

Dr Adham juga berkata jumlah ventilator yang tersedia 1,581 dan daripada jumlah itu, 591 diperuntukkan untuk pesakit Covid-19 dengan penggunaan semasa 79 (lima peratus).

Bagi menangani keperluan petugas, beliau berkata pelbagai langkah telah diambil oleh kementerian seperti mobilisasi kakitangan di dalam negeri dan juga antara negeri dan memanfaatkan perkongsian awam-swasta, mendapatkan bantuan tambahan dari universiti dan sektor swasta dan lebih ramai pegawai kontrak diambil bekerja.

“Pengurusan pandemik ini merupakan pendekatan kerajaan sepenuhnya dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :