Pasukan petugas kesihatan menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma kepada penduduk Hulu Langat pada 12 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: Klang, Kuala Langat catat kes tiga angka

SHAH ALAM, 24 DIS: Dua daerah negeri ini mencatatkan kes harian Covid-19 tiga digit iaitu Klang dan Kuala Langat, lapor Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Menurut agensi itu, mukim Klang merekodkan 104 kes manakala mukim Kapar sebanyak 39 kes, masing-masing hasil saringan kontak dan kontak rapat serta pekerja.

Kuala Langat yang mencatatkan 110 kes meliputi mukim Telok Panglima Garang (99 kes), Tanjung Dua Belas (sembilan) dan satu di Kelanang serta Morib.

Pasukan petugas kesihatan Selcare menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 dari rumah ke rumah secara percuma di Rantau Panjang, Klang pada 19 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Hulu Langat pula mencatatkan 81 kes iaitu 50 di Kajang, Cheras (13), Ampang (11), Semenyih (lima) dan mukim Hulu Langat (dua).

“Petaling pada kedudukan keempat mencatatkan 56 kes dengan 25 di mukim Petaling, Damansara (16), Bukit Raja (lapan) dan Sungai Buloh (tujuh),” tulis JKNS di Facebook.

Pecahan kes di daerah lain meliputi Gombak sebanyak 52 kes, Kuala Selangor (18), Sepang (17), Sabak Bernam (12) dan Hulu Selangor (satu).

Selangor merekodkan 491 kes baharu Covid-19 hari ini. Sebanyak 375 kes atau 31.1 peratus melibatkan kluster dan saringan kontak rapat di lapangan.

Keseluruhannya, negeri itu mencatatkan 27,709 kes dengan 10,291 daripadanya aktif. Seramai 38 orang yang dijangkiti virus itu maut setakat ini.


Pengarang :