Petugas kesihatan meletakkan sampel saringan di panel khas ‘buffer tube’ selama 30 minit sebelum dimasukkan ke dalam mesin analisa Standard F200 SD Biosensor untuk mengesan jangkitan Covid-19 dengan cepat ketika program saringan dijalankan di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Klang penyumbang tertinggi kes di Selangor, 853 jangkitan

SHAH ALAM, 10 NOV: Klang menjadi penyumbang tertinggi daripada jumlah keseluruhan 1,428 kes Covid-19 di negeri ini hari ini apabila mencatat 853 jangkitan, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Data jabatan itu menunjukkan sebanyak 581 kes dikesan di mukim Klang manakala 272 lagi mukim Kapar dengan 764 daripadanya disumbangkan melalui kluster Seruling.

“Hulu Langat pula merekodkan 381 kes iaitu mukim Semenyih (314), Kajang (51), Cheras (10), Ampang (empat) manakala Beranang dan Hulu Langat masing-masing satu kes.

“Sejumlah 71 kes dilaporkan di Gombak dengan 40 daripadanya di mukim Batu, Rawang (17), Hulu Langat dan Kuang masing-masing enam kes serta Setapak (dua),” maklum JKNS.

Jabatan itu turut melaporkan daerah lain iaitu Petaling sebanyak 63 kes diikuti Kuala Selangor (35), Sepang (10), Hulu Selangor dan Kuala Langat (tujuh) serta Sabak Bernam (satu).

Setakat 12 tengah hari tadi, seramai 234 pesakit pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan keseluruhan sembuh 13,180.

Malaysia merekodkan 2,234 kes hari ini, angka tertinggi pernah dilaporkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu menjadikan jumlah keseluruhan 78,499 kes.


Pengarang :