Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 20 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Lapan kluster baharu dikesan

PUTRAJAYA, 5 DIS: Lapan lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di negara ini melibatkan kawasan Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Perak, Kelantan dan Pahang.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster pertama iaitu Kluster Tapak Bina Muda melibatkan Daerah Titiwangsa, Lembah Pantai dan Kepong di Kuala Lumpur, dengan kes awal positif Covid-19 dilaporkan pada 4 Disember hasil saringan bersasar di tempat kerja.

“Sehingga hari ini, 346 individu telah disaring, dan daripada jumlah itu 11 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan Covid-19 semalam.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Tapak Bina Galeri di Kuala Lumpur pula melibatkan Daerah Lembah Pantai serta Cheras dengan kes-kes awal kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 2 Dis hasil saringan bersasar di sebuah tapak pembinaan.

Sehingga hari ini, seramai 232 individu telah disaring, dengan 16 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini, katanya.

Kluster ketiga ialah Kluster Bukit Dalam yang dikesan di Kuala Lumpur melibatkan Daerah Lembah Pantai dengan kes indeks (kes ke-65,320) dilaporkan positif Covid-19 pada 30 November hasil saringan individu bergejala dan sehingga hari ini, 59 individu disaring, dengan 13 kes dikesan positif.

Dr Noor Hisham berkata selain tiga kluster itu, Kluster Cempaka dikesan di Johor melibatkan Daerah Kulai dan Kluang dengan kes indeks (kes ke-68,003) yang merupakan kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dilaporkan positif Covid-19 pada 2 Disember.

“Sehingga hari ini, 92 individu telah disaring, dan 10 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Beliau berkata Kluster Sungai Cincin pula dikesan melibatkan Daerah Batang Padang di Perak, Daerah Segamat di Johor dan Daerah Klang di Selangor.

“Kes indeks (kes ke-67,087) dilaporkan positif pada 1 Dis hasil saringan individu bergejala. Sehingga hari ini, 32 individu telah disaring, dan 15 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Huma pula dikesan di Kelantan melibatkan Daerah Pasir Puteh serta Kota Bharu apabila kes indeks (kes ke-68,020) dilaporkan positif pada 2 Dis hasil saringan kontak rapat, dan sehingga hari ini, 80 individu disaring dengan 20 kes dikesan positif.

Kluster Jalan Genting pula dikesan di Kuala Lumpur dan Pahang yang melibatkan Daerah Titiwangsa juga Bentong apabila kes indeks (kes ke-66,878) dilapor positif pada 1 Dis hasil saringan tempat kerja, katanya.

“Sehingga 3 Dis sejumlah 21 individu disaring, dan 14 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Atabara pula dikesan di Pahang melibatkan Daerah Kuantan dan Pekan dengan kes indeks (kes ke-68,017) dilaporkan positif pada 2 Dis hasil saringan individu bergejala, dan sehingga hari ini 53 individu disaring, iaitu lima kes dikesan positif.

-BERNAMA

 


Pengarang :