Petugas kesihatan meletakkan sampel saringan Covid-19 ke panel khas ‘buffer tube’ untuk mengesan jangkitan virus dengan pantas menggunakan mesin analisa Standard F200 SD Biosensor ketika program Saringan Komuniti di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19 lapor 1,594 kes baharu, lima lagi kluster

SHAH ALAM, 28 DIS: Sebanyak 1,594 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, hampir semua melibatkan penularan dalam negara.

Ketua pengarah kesihatan berkata keseluruhannya sebanyak 106,690 kes dicatatkan setakat ini dengan 20,643 daripadanya kes aktif.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Selangor kekal merekodkan kes harian tertinggi iaitu 697 kes dengan 593 kes melalui kluster dan saringan kontak rapat.

“Ini diikuti oleh Kuala Lumpur sebanyak 194 kes, Johor (191) sementara 108 kes pula berkaitan kluster lokap, depot tahanan imigresen dan penjara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 2 Disember 2020. Foto BERNAMA

Negeri lain ialah Negeri Sembilan (160 kes), Sabah (157), Pulau Pinang (69), Perak (47), Kelantan (28), Melaka (14), Kedah (12), Pahang (11), Putrajaya (sembilan) dan Terengganu (tiga) dan Sarawak (dua).

Beliau berkata sebanyak 1,181 pesakit lagi berjaya sembuh dengan jumlah kes pulih ialah 85,592 manakala 116 kes dirawat di unit rawatan rapi dan 53 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga lagi kes kematian Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang maut ialah 455 kes,” kata Dr Noor Hisham lagi.

Beliau turut memaklumkan terdapat lima kluster baharu yang dikenal pasti menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau ialah sebanyak 214 kluster.

Berikut adalah kluster baharu yang dilaporkan:

1. Kluster Tapak Bina Jalan Gadang – Kluster tempat kerja melibatkan daerah Lembah Pantai dan Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

2. Kluster Menara Sri – Kluster tempat kerja melibatkan daerah Cheras, Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta daerah Kerian di Perak

3. Kluster Bukit Pasir – Kluster tempat kerja melibatkan daerah Muar di Johor

4. Kluster Pintu Geng – Kluster ini melibatkan daerah Kota Bharu di Kelantan

5. Kluster Putra 15 – Kluster tempat kerja melibatkan Wilayah Persekutuan Putrajaya

 


Pengarang :