Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 4 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Laporan insiden alat bantuan pernafasan terbakar belum diterima

PUTRAJAYA, 4 DIS: Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya belum menerima laporan lengkap berhubung insiden alat bantuan pernafasan (ventilator) yang dikatakan terbakar hari ini ketika digunakan seorang pesakit di Hospital Queen Elizabeth II di Kota Kinabalu, Sabah.

Bagaimanapun Dr Noor Hisham menjelaskan 1,556 alat bantuan pernafasan yang dimiliki Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baharu diperoleh iaitu semasa gelombang kedua pandemik Covid-19 dan kurang 100 daripadanya digunakan setakat ini.

“Kita masih belum terima laporan lengkap daripada kejadian kebakaran, mungkin bukan berkenaan dengan ventilator. Kita tunggu siasatan penuh daripada pihak kejuruteraan untuk maklumat lanjut,” katanya di dalam sidang media harian mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika ditanya mengenai kejadian sebuah ventilator yang ditempatkan di Unit Rawatan Separa Rapi (HDU) di Hospital Queen Elizabeth II di Kota Kinabalu, Sabah didakwa terbakar tengah hari tadi ketika digunakan oleh seorang pesakit.

Sementara itu, Dr Noor Hisham mengesahkan tiga lagi kes positif Covid-19 baharu melibatkan sebuah syarikat di Bangi hari ini menjadikan jumlah kes di syarikat itu kepada 90.

Bagaimanapun beliau berkata kesemua 90 kes itu adalah berkaitan Kluster Hentian dan bukannya kluster baharu.

Menurutnya Kluster Hentian hari ini melaporkan pertambahan 38 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes kluster itu kepada 1,386.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini sebanyak 11,263 individu di Kluster Hentian telah disaring.

– BERNAMA


Pengarang :