Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya pada 2 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: Malaysia rekod 2,335 kes baharu, tertinggi sejak Mac

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Malaysia merekodkan kes harian baharu Covid-19 tertinggi sejak pandemik itu melanda negara dengan 2,335 kes hari ini, sekali gus menyaksikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini melepasi angka 20,000 kepada 20,035 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini mencecah 103,900 kes, selain turut merekodkan dua kematian baharu melibatkan warganegara.

Beliau berkata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melaporkan kes baharu tertinggi iaitu 728 kes dengan 677 daripadanya melibatkan kluster-kluster sedia ada dan hasil saringan kontak rapat Covid-19 di lapangan.

“Selangor mencatat sebanyak 710 kes; Johor (412 kes); Sabah (248 kes); Pulau Pinang (58 kes); Kelantan (54 kes); Negeri Sembilan (33 kes); Perak (26 kes) dan Pahang (19 kes).

Sementara itu, Kedah dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing merekodkan 16 kes; Sarawak (enam kes); Melaka (lima kes); Wilayah Persekutuan Putrajaya (tiga kes) dan Perlis hanya satu kes,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan jangkitan Covid-19, di sini hari ini.

Sebelum ini negara pernah mencatat jumlah kes harian baharu lebih 2,000 iaitu 2,188 kes pada 24 Nov; 2,234 (10 Dis); 2,018 (21 Dis) dan 2,062 (22 Dis).

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu hari ini, hanya terdapat 11 kes import manakala 2,324 kes adalah penularan dalam negara.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 308 daripada jumlah kes baharu adalah berkaitan kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara iaitu kluster Penjara Jalan Harapan,Selangor (156 kes); kluster Pagar Siput, Johor (128 kes); kluster Tembok, Kedah (lapan kes); kluster Penjara Sandakan, Sabah (tujuh kes) dan kluster Pagar Bentong,Pahang (empat kes).

“Sementara itu, kluster Tembok Gajah, Johor (dua kes) manakala masing-masing satu kes bagi kluster GK Tawau dan kluster Penjara Kepayan di Sabah serta kluster Kolam Air, Kedah,” katanya.

Mengenai dua kematian baharu hari ini,beliau berkata pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes maut akibat Covid-19 di Malaysia adalah 451 kes.

Kematian ke-450 (kes 100,538) di Hospital Duchess of Kent, Sandakan,Sabah melibatkan wanita berumur 44 tahun dengan penyakit obesiti dan dispepsia, manakala kematian ke-451 (kes 101,553) di Hospital Melaka melibatkan lelaki berusia 70 tahun dengan penyakit kencing manis, darah tinggi, dan “Benign Prostatic Hypertrophy”.

Beliau berkata, bilangan kes pulih hari ini pula adalah 874 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya kini sebanyak 83,414 manakala terdapat 108 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 50 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

– BERNAMA

 


Pengarang :