Guru Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran Chenderah Jasin, Melaka Salman Samat, 35, mendengar hafazan murid ketika pembelajaran dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumahnya di Taman Bukit Setongkol pada 2 Mei 2020. Foto BERNAMA
PENDAPATRENCANA

Covid-19: Mangkin perubahan corak pembelajaran baharu dalam talian

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin dan Maizatul Jamny Muhammad Rosli

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Tirai 2020 bakal dilabuhkan yang telah menyaksikan pelbagai perubahan dinamik yang belum pernah berlaku terhadap corak pendidikan negara, sehingga menyebabkan sesi persekolahan dan universiti ditangguhkan sementara, berikutan penularan pandemik Covid-19.

Situasi itu juga turut ‘memaksa’ jutaan pelajar di seluruh negara untuk memanfaatkan sepenuhnya komputer riba atau peranti elektronik mereka sebagai medium untuk meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian dari rumah.

Persoalannya, bersediakah Malaysia untuk mengharungi era corak pembelajaran yang baharu ini?

Begitupun, kesan pandemik tersebut telah memungkinkan teknologi memainkan peranan penting dalam mengubah corak pengajaran dan pembelajaran (PdP) sistem pendidikan negara, sekali gus menyaksikan kerajaan berusaha untuk meningkatkan kebolehcapaian internet terutamanya di kawasan yang mengalami akses internet yang terhad.

Gelombang Covid-19 Bermula

Gelombang pertama jangkitan Covid-19 di negara ini mula dikesan pada 24 Januari dengan 22 kes dilaporkan meliputi 12 individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara dan wilayah yang terjejas jangkitan tersebut. Lapan kes mempunyai kontak rapat manakala dua dijangkti semasa misi kemanusiaan.

Pada 30 Januari, Kementerian Pendidikan (KPM) menangguhkan sementara pendaftaran pelajar dari bandar Wuhan dan Wilayah Hubei, China dan menyekat kawasan sekitar di semua institusi pendidikan di negara ini, sebagai langkah memerangi virus tersebut.

Ketika gelombang kedua melanda negara pada 27 Februari, KPM telah mengarahkan penangguhan semua program melibatkan perhimpunan ramai seperti program sukan dan kegiatan kokurikulum di semua sekolah seluruh negara, mulai 13 Mac.

Alesha Abdullah Sani mengaminkan doa sebelum makan tengah hari di dalam kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1) dalam suasana pematuhan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah pada 24 Jun 2020. Foto: BERNAMA

Kerajaan kemudiannya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula pada 18 Mac yang mengakibatkan penutupan semua institusi pendidikan termasuk taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan sekolah rendah, menengah dan prauniversiti, kolej dan institusi pengajian tinggi.

Rentetan penutupan itu, para guru disarankan untuk mengaplikasikan corak PdP secara maya di rumah sebagai kaedah baharu dan terbaik, disebabkan kekangan dan situasi semasa penularan Covid-19 di dalam negara.

Hakikatnya, terdapat halangan untuk melaksanakan PdP secara maya dari rumah dengan KPM mendapati daripada maklum balas daripada 670,000 ibu bapa dan kira-kira 900,000 murid menunjukkan hanya enam peratus memiliki komputer peribadi, tablet (5.76 peratus), komputer riba (sembilan peratus) dan telefon pintar (46 peratus). Sementara 36.9 peratus pelajar tidak mempunyai peranti.

Menteri Kanan Pendidikan Senator Dr Radzi Jidin yang menerajui KPM mulai 10 Mac, berkata guru seharusnya mengambil berat masalah dan kekangan yang dihadapi murid untuk mengikuti PdP dari rumah serta menentukan kaedah terbaik dalam melaksanakan proses PdP secara dalam talian.

Wartawan Bernama membaca notis perintah tutup premis yang digantung di pagar Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8(1) pada 9 Oktober 2020 susulan terdapat kes Covid-19 membabitkan warga sekolah itu. Foto BERNAMA

Setelah sekatan pergerakan dilonggarkan dan kes harian Covid-19 merekodkan angka yang menurun setelah menikmati cuti persekolahan selama berbulan-bulan lamanya, kerajaan memutuskan agar sesi PdP sekolah menengah di seluruh negara dibuka semula pada 24 Jun, khusus untuk pelajar yang menduduki peperiksaan awam tahun ini.

Ini termasuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan yang setaraf dengannya.

Pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat dan Kelas Peralihan serta murid Tahun Lima dan Tahun Enam, kembali ke sekolah mulai 15 Julai sementara murid Tahun Satu hingga Tahun Empat, memulakan sesi pembelajaran di sekolah pada 22 Julai. Ini meliputi semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi pendidikan yang berdaftar di bawah KPM.

Penjadualan Semula Peperiksaan

Kerajaan juga membuat penjadualan semula tarikh SPM, SVM dan STAM ke 22 Feb 2021 dan STPM akan diadakan pada 8 Mac 2021. Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pula telah dibatalkan bagi tahun ini.

Malangnya, ibu bapa yang prihatin berpendapat bahawa keputusan memulakan sesi persekolahan itu dibuat dengan tergesa-gesa kerana mereka bimbang kes Covid-19 akan melonjak tinggi apabila sekolah dibuka semula.

Pegawal keselamatan Parameswary menutup pintu pagar sekolah yang diarah tutup berikutan daerah Petaling dikelaskan sebagai Zon Merah penularan COVID-19 ketika tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara (4) pada 12 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Ternyata, mimpi ngeri ibu bapa itu, akhirnya menjadi kenyataan. Gelombang ketiga Covid-19 melanda negara ini pada hujung September selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Sebagai reaksi segera, kerajaan pada 8 Nov, mengumumkan bahawa sekolah dan kolej vokasional akan ditutup pada keesokan harinya (9 Nov) hingga berakhirnya kalendar sesi akademik 2020.

Bagi pelajar IPT awam dan swasta, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan bahawa semua kuliah wajib dijalankan secara maya tanpa dibenarkan pelajaran secara bersemuka mulai 27 Mei hingga 31 Dis dengan pengecualian kepada lima kategori akademik yang melibatkan pelajar.

Pengumuman itu telah mendorong para pelajar universiti wajib membudayakan normal baharu dalam PdP secara dalam talian.

Rentetan itu, kebanyakan pelajar memohon agar yuran pengajian dikurangkan memandangkan mereka tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan yang disediakan di universiti.

Prihatin dengan maklum balas dan gesaan pelajar serta ibu bapa yang pendapatan isi rumahnya terjejas teruk oleh wabak itu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengumumkan bayaran asrama dan kemudahan di semua universiti awam untuk semester kedua sesi akademik 2019/2020 dikurangkan sehingga 15 peratus.

Langkah itu melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM72 juta, dengan RM20 juta diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan RM52 juta lagi adalah daripada peruntukan dalaman universiti.

Yang pasti, 2020, telah menyaksikan anjakan paradigma dalam sektor pendidikan negara khususnya dalam dalam mengadaptasi proses PdP normal baharu yang banyak bergantung terhadap teknologi sama ada dalam kalangan pelajar, pensyarah, guru malah semua yang terlibat dalam institusi sektor pendidikan.

Persoalannya, adakah kita benar-benar bersedia untuk perubahan sedemikian?

– BERNAMA


Pengarang :