Sekumpulan petugas kesihatan Labuan kelihatan bersedia untuk tugasan mengambil sampel dan saringan Covid-19 di kawasan sasaran Kluster Saguking pada 16 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Masih ada 104 kes aktif di Hospital Labuan

LABUAN, 27 DIS: Sejumlah 104 kes Covid-19 masih lagi dirawat di Hospital Labuan dengan empat daripada mereka berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) di tengah-tengah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikenakan di wilayah persekutuan ini.

Sub Zon1 dan Sub Zon 3 Labuan yang terdiri daripada rumah kedai, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pasar Sentral, kedai makan dan beberapa kawasan perumahan dan kampung yang sebelum ini diisytiharkan sebagai kluster aktif Covid-19, dengan masing-masing 39 kes dan 22 kes dilaporkan sedang menanti 28 hari sifar kes baharu sebelum mereka boleh diklasifikasikan semula sebagai kluster tidak aktif.

Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari sementara itu berkata dua kluster baharu dikenali sebagai Hujung Pasir dan J Bandar muncul dan tertumpu di pusat bandar.

“Kluster J Bandar melibatkan sebuah kedai makan mempunyai 32 kes dengan majoriti yang dijangkiti ialah pekerja dan pelanggan.

Kluster Hujung Pasir pula dengan 55 kes terkumpul dan kami berharap kluster ini tidak merebak ke generasi ketiga,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dr Ismuni berkata kluster Saguking dan Titian yang juga menunggu untuk diklasifikasikan semula sebagai tidak lagi aktif masih dipantau rapi kerana ramai penduduk di sana didapati cuba mengelak daripada disaring Covid-19 apabila saringan dibuat.

Beliau juga mengingatkan mereka yang dilepaskan daripada kuarantin dan mahu pergi ke Sabah dan Semenanjung serta kembali ke Labuan masih lagi perlu menjalani saringan “Antigen Rapid Test” (RTK-Ag)

Setakat ini, Labuan mempunyai 1,624 kes dengan sembilan kematian.

– BERNAMA


Pengarang :