Seorang pekerja asing diperiksa suhu badan ketika beratur untuk pemeriksaan dengan pihak berkuasa kesihatan di pasar baharu susulan penularan Covid-19 di Bangkok, Thailand pada 22 Disember 2020. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Merebak ke 45 wilayah, Thailand beri amaran kes naik

BANGKOK, 30 DIS: Pandemik Covid-19 terbaru di Thailand telah merebak ke 45 daripada 77 wilayah dalam tempoh kurang dua minggu dan pihak berkuasa kesihatan awam memberi amaran jumlah kes harian boleh melonjak kepada lima digit menjelang pertengahan Januari.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata wabak terbaru di pasar makanan laut di wilayah Samut Sakhon sejak 18 Disember telah merebak ke 45 wilayah dengan lebih 1,300 kes direkodkan.

Beliau berkata kes harian boleh melonjak sehingga 18,000 menjelang pertengahan bulan depan sekiranya tiada langkah pencegahan diambil.

“Pelaksanaan langkah sederhana, bilangan kes harian baharu boleh mencecah 8,000 tetapi dengan langkah yang diperhebatkan, ia merekodkan 1,000 kes atau kurang. Bilangan kes baharu semakin meningkat… Kami akan kaji semula langkah yang dilaksanakan sekiranya situasi tidak terkawal,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Thailand mengesan sekurang-kurangnya tiga kluster sejak pertengahan Disember – penularannya dikaitkan dengan pasar makanan laut di wilayah barat daya Samut Sakhon, sarang perjudian haram di wilayah timur Rayong dan peminat superbike yang berkumpul di Pulau Lanta di wilayah selatan Krabi.

Thailand mencatatkan 155 kes baharu Covid-19 iaitu 134 penularan tempatan, 11 daripada pengesanan kes aktif di wilayah Samut Sakhon dan 10 kes import.

Setakat ini, Thailand merekodkan 6,440 kes dengan 61 kematian.

Dalam usaha membendung penularan Covid-19, semua pusat hiburan dan premis pertaruhan di Bangkok ditutup mulai semalam sehingga 4 Januari.

Pentadbiran Metropolitan Bangkok mengarahkan premis hiburan termasuk bar dan kelab malam ditutup manakala restoran dibenarkan beroperasi selagi tidak menghidangkan minuman beralkohol dan ditutup menjelang tengah malam.

Selain itu, trek lumba kuda dan arena sabung ayam ditutup sehingga 4 Januari.

Kabinet meluluskan peruntukan 11.3 bilion baht untuk memerangi penularan baharu itu termasuk 27.2 juta baht untuk pembelian peralatan dan kit saringan.

– BERNAMA


Pengarang :