Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur Mohamad Haron Mohamad Sidik bercakap kepada media selepas Program Sumbangan kepada Pengusaha-pengusaha Bas Sekolah yang terjejas Covid-19 di Taman Tenaga, Puchong pada 18 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Covid-19: Pengusaha bas sekolah mohon bantuan kerajaan

PETALING, 18 DIS: Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur memohon bantuan selepas hilang pendapatan sejak Mac akibat penularan Covid-19.

Pengerusinya berharap Kerajaan Negeri dan Persekutuan dapat bekerjasama mencari langkah terbaik meringankan beban pengusaha.

“Sesi sekolah hanya berjalan sepenuhnya pada Januari dan Februari, selepas itu sekolah lebih banyak tutup malah ada ibu bapa yang enggan guna bas sekolah sebab risau penularan Covid-19.

“Kami memohon bantuan dari kerajaan berikutan terbeban akibat pinjaman yang perlu dibayar setiap bulan,” kata Mohamad Haron Mohamad Sidik selepas menerima bantuan makanan asas disampaikan EXCO Pengangkutan Ng Sze Han di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kinrara hari ini.

Exco Kerajaan Negeri Ng Sze Han menyerahkan sumbangan makanan asas kepada Pengerusi Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur Mohamad Haron Mohamad Sidik dalam Program Sumbangan Kepada Pengusaha-pengusaha Bas Sekolah yang terjejas Covid-19 di Taman Tenaga, Puchong pada 18 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengusaha bas sekolah Salbiah Harun berharap kerajaan dapat menyalurkan bantuan sebelum sesi persekolahan yang dijadualkan bermula 20 Januari tahun depan.

“Ini kerana kami perlu menyelenggara kenderaan yang tersadai sejak berbulan lamanya, malah kami juga perlu menjalani pemeriksaan Puspakom.

“Kami amat bersyukur sekiranya Kerajaan Persekutuan dan Negeri dapat duduk semeja bincang bantuan yang boleh disalurkan,” katanya.

Pada Julai Kerajaan Persekutuan mengumumkan bantuan khas RM600 kepada 35,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara melibatkan peruntukan berjumlah RM21 juta.


Pengarang :