AGENDANASIONAL

Covid-19: Putrajaya tidak bercadang naikkan tarif air

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Kerajaan tidak bercadang menaikkan tarif air buat masa ini sekalipun telah lama tidak disemak semula, memandangkan keadaan ekonomi semasa rakyat yang terjejas oleh pandemik Covid-19, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata semakan semula itu perlu ditangguh buat sementara waktu kerana kerajaan tidak mahu menambah bebanan rakyat.

“Mengenai tarif air, untuk makluman kita pun ambil berat isu ini, (tetapi) macam yang YB Kuala Langat bangkitkan, zaman YB pun tak sesuai, kini dalam keadaan rakyat yang susah, keadaan ekonomi yang terjejas, perkara itu perlu ambil masa supaya bebanan tidak terletak di bahu rakyat pada waktu ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Isu kenaikan tarif air itu dibangkitkan oleh bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), Datuk Dr A Xavier Jayakumar (PH-Kuala Langat) yang menyatakan kadar semasa perlu dinaikkan bagi menyeimbangkan pembiayaan industri bekalan air negara.

Mengenai jenayah pencemaran alam sekitar, Tuan Ibrahim berkata unit jenayah alam sekitar yang ditubuhkan secara pentadbiran pada 1 Okt lalu merekodkan beberapa kejayaan dengan pendakwaan beberapa individu yang menyebabkan pencemaran sungai.

Bagi meminimumkan risiko gangguan bekalan air seperti yang berlaku di Lembah Klang baru-baru ini, Tuan Ibrahim berkata kementeriannya mengemukakan cadangan pelaksanaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebagai sumber air alternatif.

“TAPS ini juga akan berfungsi sebagai mekanisme kawalan banjir. Di bawah RMK11, empat projek TAPS telah diluluskan iaitu TAPS Jernih, TAPS Melaka, TAPS Sungai Johor dan TAPS Linggi dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.4 bilion.

“Bagi Sungai Semenyih dan Sungai Selangor pula, kementerian menyasarkan untuk membina dua TAPS yang mampu menampung sekiranya berlaku gangguan ataupun pencemaran kepada sungai itu iaitu TAPS Putrajaya dan TAPS Rasau sebagai sumber air alternatif,” katanya.

Peruntukan Belanjawan 2021 bagi kementerian itu kemudian diluluskan di peringkat jawatankuasa dengan undian suara terbanyak.

Persidangan dewan bersambung esok.

-BERNAMA


Pengarang :