Petugas kesihatan melakukan saringan Covid-19 terhadap pekerja kilang warga asing kumpulan syarikat Kossan di Meru, Klang pada 9 Disember 2020. Foto BERNAMA
EXCOSELANGOR

Covid-19: Saringan bersasar sumbang peningkatan kes tempat kerja

SHAH ALAM, 15 DIS: Pertambahan kes Covid-19 melibatkan kluster tempat kerja di negeri ini susulan saringan bersasar yang dilaksanakan oleh majikan.

EXCO kesihatan awam berkata perkara tersebut sudah dijangka sekali gus menyaksikan Selangor terus mencatatkan kes harian tertinggi dalam negara.

“Selangor memiliki kilang dan industri paling banyak di Malaysia, termasuk pekerja asing. Apabila banyak saringan dibuat, maka lebih banyak kes baharu dapat dikesan,” kata Dr Siti Mariah Mahmud ketika dihubungi.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia mengesan dua kluster baharu di Selangor, termasuk satu jangkitan tempat kerja.

Kluster Tanjung Suria membabitkan pekerja kilang dikesan di Sepang, Gombak, Kuala Selangor dan Hulu Selangor. Sementara Kluster Lestari dikesan sekitar Petaling, Hulu Langat, Klang dan Sepang selain Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Sebanyak 119 kluster berkaitan tempat kerja dilaporkan setakat 24 November. Daripada jumlah itu, 83 kluster masih aktif.

Pada 20 November, kerajaan mewajibkan semua pekerja asing di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan termasuk Labuan dan Sabah menjalani saringan Covid-19.


Pengarang :