K Mathavi, 54, bersama anaknya O Durai Raj, 12, menjalani Saringan Komuniti di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Covid-19: Selangor catat 426 kes lagi, dua kluster baharu

SHAH ALAM, 7 DIS: Kes harian Covid-19 di Selangor meningkat kepada 426 berbanding 337 kes yang dicatatkan semalam.

Ketua pengarah kesihatan berkata sebanyak 276 kes dikesan daripada lain-lain saringan Covid-19 manakala 99 kes hasil saringan kontak rapat.

“Sebanyak 49 kes daripada kluster sedia ada, termasuk lima kes dari kluster baharu dan dua lagi kes import,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Sebanyak 1,600 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini dengan kes tertinggi dicatatkan Negeri Sembilan iaitu 541 kes.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 2 Disember 2020. Foto BERNAMA

Sementara itu, beliau berkata dua kluster baharu dikesan di Selangor iaitu kluster Malawati dan kluster Tapak Bina Awan Lembah.

Dr Noor Hisham memaklumkan kluster Malawati di Kuala Selangor mengesan kes indeks positif pada 30 November dengan 143 individu disaring dan 14 positif.

“Kluster Tapak Bina Awan Lembah melibatkan Klang, Lembah Pantai dan Titiwangsa pula mengesan 35 kes selepas 441 individu disaring,” katanya lagi.

Jelasnya, sebanyak 390 kluster dilaporkan setakat ini dengan 203 kluster ditamatkan manakala selebihnya masih aktif.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 51 kluster merekodkan pertambahan kes iaitu Kluster Bakti dengan 500 kes, Kluster Batu Tujuh (53) dan Kluster Tembok (49).


Pengarang :