Sebahagian pekerja wanita Top Glove yang beratur sebelum dibawa keluar oleh petugas kesihatan berikutan penularan wabak Covid-19 di Asrama Pekerja Top Glove Meru Klang pada 24 November 2020. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Selangor rekod 891 kes hari ini, Kluster Teratai penyumbang terbesar

SHAH ALAM, 1 DIS: Selangor merekodkan 891 kes baharu positif Covid-19 hari ini dan Kluster Teratai menjadi penyumbang terbesar jumlah berkenaan dengan 778 kes.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga kini seramai 6,603 individu disaring bagi kluster berkenaan dan 5,056 didapati positif.

“Ia membabitkan 4,725 warga asing dan 331 warganegara. Pada masa sama 1,501 individu dikesan negatif manakala 46 individu masih menunggu keputusan.

“Kesemua kes positif telah diasingkan. Oleh itu, kami menyambut baik pengumuman melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di asrama pekerja kilang berkenaan hingga 14 Disember depan,” katanya ketua pengarah kesihatan dalam kenyataan media.

Dr Noor Hisham berkata daripada 891 jumlah keseluruhan kes baharu di Selangor, 795 kes berpunca daripada kluster-kluster sedia ada.

“39 kes saringan kontak rapat, dua kes import dari luar negara dan 55 kes daripada lain-lain saringan Covid-19,” katanya lagi.

Hari ini Malaysia merekodkan 1,472 kes baharu, bagaimanapun pesakit sembuh daripada wabak itu lebih tinggi iaitu 1,552.


Pengarang :