Balai ketibaan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok pada 3 Jun 2020 kelihatan lengang berikut penularan pandemik Covid-19. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Covid-19: Thailand rekod 19 kes baharu termasuk dua penularan tempatan

BANGKOK, 5 Dis: Thailand merekodkan 19 kes baharu jangkitan Covid-19 termasuk dua kes penularan tempatan manakala sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kes kepada 4,072 dan 60 kematian setakat ini.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) memaklumkan dua kes itu membabitkan seorang wanita Thailand berusia 50 tahun dari Sing Buri yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19 dan lelaki Thailand berusia 30 tahun yang mengunjungi Chiang Rai, satu kawasan berisiko berikutan terdapat kes dalam kalangan rakyat Thailand yang memasuki negara ini secara haram dan melanggar arahan kuarantin.

Pusat itu memberitahu kes-kes baharu lain termasuk empat individu yang menyelinap masuk ke negara ini dari bandar sempadan Myanmar, Tachileik, dan diuji positif virus yang membawa maut itu beberapa hari kemudian.

Menurut CCSA, tiga warga Thailand – dua wanita berumur 25 tahun dan seorang lelaki berumur 32 tahun – serta seorang lelaki Myanmar berumur 43 tahun memasuki negara ini dengan menyeberangi sempadan di Tachileik dan mengelak kuarantin wajib.

“Tiga rakyat Thailand berkenaan bekerja di sebuah premis hiburan di bandar sempadan Tachileik manakala lelaki Myanmar itu datang ke Thailand untuk pemeriksaan perubatan. Kesemua mereka diuji positif Covid-19 beberapa hari kemudian,” menurut CCSA.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 15 rakyat Thailand yang bekerja di premis hiburan di Tachileik dan pulang ke Thailand melalui Mae Sai di Chiang Rai diuji positif Covid-19.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan akan kewujudan gelombang baharu Covid-19 di negara ini.

Sehingga 24 jam lepas, sebanyak 13 kes import dilaporkan iaitu tiga dari Amerika Syarikat, Switzerland (dua), Myanmar (dua) serta masing-masing satu kes dari United Kingdom, Belanda, Malaysia, India, Mexico dan Sweden.

– BERNAMA


Pengarang :