Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 20 November 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Tiga lagi kluster baharu dikesan – Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Tiga lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di negara ini melibatkan kawasan di Negeri Sembilan, Sabah dan Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster pertama iaitu Kluster Ceram melibatkan daerah Seremban di Negeri Sembilan dengan kes awal positif Covid-19 dilaporkan pada 30 November hasil saringan individu bergejala.

“Hasil saringan di tempat kerja seterusnya mendapati 170 kes lagi dikesan positif Covid-19. Sehingga 6 Disember, sejumlah 450 individu telah disaring, yang 171 kes telah dikesan positif dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kluster kedua pula ialah Kluster Pulau Berhala melibatkan daerah Sandakan, Sabah dengan kes awal dikesan pada 20 November hasil saringan komuniti.

Beliau berkata sehingga hari ini, sejumlah 208 individu telah disaring dan 24 kes positif dikesan dalam kluster tersebut.

Dr Noor Hisham berkata kluster ketiga pula melibatkan daerah Johor Bahru di Johor dengan kes awal dikesan pada 1 Disember hasil saringan individu bergejala.

Katanya sehingga hari ini sejumlah 212 individu telah disaring dan 17 kes telah dikesan positif.

– BERNAMA


Pengarang :