Orang awam dilihat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan mengamalkan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka di tempat awam sebagai langkah pencegahan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar pusat bandar Labuan, Sabah pada 5 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Covid-19: Zon merah di Sabah berkurangan kepada 11 daerah

KOTA KINABALU, 27 DIS: Zon merah Covid-19 di Sabah berkurangan kepada 11 daerah hari ini berbanding 12 semalam, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Masidi berkata ini selepas Kudat bertukar kepada zon jingga yang sekali gus menambah bilangan zon berkenaan kepada tujuh berbanding enam, semalam.

Selain itu, katanya Sabah setakat ini masih merekodkan tujuh zon kuning dan dua zon hijau.

“Sebanyak 186 kes positif baharu Covid-19 direkodkan di Sabah hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 36,074 kes dengan satu kematian dilaporkan di Penampang hari ini.

“Sebanyak 109 kes atau 58.6 peratus daripada kes baharu itu berpunca daripada saringan kontak rapat, saringan bergejala, 31 kes (16.7 peratus), saringan kluster baharu dan kluster-kluster sedia ada 30 kes (16.1 peratus), dan 16 kes (8.6 peratus) lain-lain kategori,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masidi yang merupakan jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata Kota Kinabalu dan Tawau adalah antara lima daerah merekodkan kes positif tertinggi hari ini iaitu 40 kes, diikuti Penampang (22), Putatan (13) dan Sandakan (10).

Beliau berkata seramai 219 pesakit Covid-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah seramai 33,790 orang, manakala seramai 1,557 lagi sedang menerima rawatan.

Jumlah itu termasuk 564 pesakit di hospital dan 993 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah, katanya.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata kerajaan negeri telah mengagihkan sebanyak 304,415 bakul makanan kepada golongan sasar di semua 27 daerah, seluruh negeri.

– BERNAMA


Pengarang :