Kelapa sawit merupakan antara komoditi utama negara. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Cukai eksport minyak sawit mentah ditetapkan pada 8 peratus bagi Jan 2021

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Malaysia menetapkan cukai eksport minyak sawit mentah (MSM) pada lapan peratus bagi Januari 2021.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam satu kenyataan hari ini berkata kadar duti eksport lapan peratus itu ditetapkan selepas harga pasaran MSM mencecah RM3,450 setan metrik dan ke atas.

Kadar ini akan berkuat kuasa mulai 1 Jan sehingga 31 Jan, 2021, menandakan berakhirnya cukai eksport sifar yang dilaksanakan dari Jun hingga Disember 2020, bertujuan untuk meningkatkan nilai eksport sawit Malaysia ke negara lain, terutamanya India.

Pengecualian duti eksport itu juga bertujuan untuk membantu menyokong industri komoditi sebagai sebahagian daripada keseluruhan usaha bagi merangsang ekonomi di tengah-tengah penularan pandemik Covid-19.

Pada penutup dagangan semalam, kontrak niaga hadapan MSM bagi Januari, Februari, Mac dan April berlegar antara paras RM3,320 dan RM3,646 setan metrik manakala harga MSM fizikal bagi Januari Selatan susut RM20 kepada RM3,660 setan metrik.

Penganalisis perladangan mengunjurkan paras sokongan pada RM3,350 dan paras ketahanan pada RM3,520 setan metrik.

– BERNAMA


Pengarang :