Dato’ Seri Amirudin Shari percaya usaha mengetengahkan Selangor sebagai aktor utama dalam industri kreatif di rantau asia tenggara tidak akan pernah berhenti. Foto ARKIB SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Dari Kaca Mata MB: Bangunkan ekosistem khazanah budaya

Teks disediakan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Dato’ Menteri Besar yang disiarkan dalam akhbar SelangorKini edisi 17-23 Disember 2020

Semenjak awal perubahan tampuk pentadbiran pada tahun 2008 lagi, hal-hal berkenaan citra budaya masyarakat sentiasa menjadi perhatian Kerajaan Negeri. Sebelum banyak pihak menyedari tentang potensi apa yang kini disebut sebagai ‘ekonomi kreatif’, negeri Merah Kuning telah mengorak langkah awal dalam meneroka ruang-ruang yang agak sedikit berbeza dari arus perdana. Hasilnya, bercambah program berbentuk kesenian di sana sini, antaranya acara Rumah Frinjan yang membawa obor semangat perubahan anak muda saat itu.

‘Pakej’ ini, kalau boleh dikatakan begitu, turut membawa bersama pembudayaan intelektual melalui program diskusi, jualan dan penghasilan buku-buku yang sangat prolifik. Ditambah dengan sokongan teknologi dan media sosial yang baru bercambah waktu itu memberi ruang kepada penulis dan pemikir muda untuk melontarkan pandangan mereka kepada khalayak pembaca. Facebook menjadi wahana kepada aktiviti ‘bedah buku’ dan wujud apa yang disebut sebagai KulTwit (Kuliah Twitter)—semuanya melambangkan keghairahan anak muda saat itu dalam merebut ruang dan menyatakan keberadaan diri serta idealisme mereka.

Bakat-bakat anak muda yang penuh kreativiti dan meluap-luap dengan rasa ingin mengubah dunia ini wajar dikesan dan digilap lebih awal. Itulah antara usaha awal yang dipelopori Kerajaan Negeri melalui penganjuran Selangor Young Talents Award (Seyta) di bawah jenama GEN-S sewaktu pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim ketika itu.

Dan komitmen ini cuba dizahirkan dengan lebih jelas dan jitu apabila Dato’ Seri Amirudin Shari diberi amanah untuk mempengerusikan Jawatankuasa Tetap Kebudayaan, Generasi Muda dan Sukan pada 2014. Dengan mandat yang diberi, Kerajaan Negeri julung kalinya membawakan pengalaman persembahan seni yang berbeza yakni Teater Atas Pokok bersama-sama dengan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) selama dua malam berturut-turut di Tasik Shah Alam dan mendapat liputan yang sangat memberangsangkan.

Lorong seni yang dibangunkan di Shah Alam dan Petaling Jaya menjadi platform bakat muda menghasilkan karya mengikut kreativiti masing-masing. Foto ARKIB SELANGORKINI

Kota Seni

Kepedulian ini mencapai kemuncaknya apabila Belanjawan Selangor 2016 diluluskan dengan sejumlah peruntukan yang besar untuk agenda Kota Seni. Seperti yang kita ketahui, Shah Alam dan Petaling Jaya telah diangkat menjadi Kota Seni dan mendapat peruntukan khusus untuk pengembangan seni-budaya, dan menghasilkan antara lain Lorong Seni Seksyen 7, Shah Alam dan arca-arca awam di sekitar Menara MBPJ.

Beberapa cadangan pembinaan muzium turut dikemukakan pada tahun berikutnya, antara lain Muzium Setem dan Muzium Tekstil yang kini giat dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2022. Terdapat juga peruntukan untuk suatu konsep ‘Open Studio’ yang kemudiannya berinovasi menjadi Rumah Seni Selangor (RuSSel) yang bertujuan memupuk bakat-bakat muda di dalam bidang seni lukis dan juga cabang seni yang lain.

Pentadbiran Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ketika itu turut memperkenalkan Siri Pencerahan Selangor yang membawa terjemahan adikarya dunia ke dalam bahasa kebangsaan. Sumbangan besar atas perkembangan intelektual Nusantara ini turut diperkembangkan dengan penganjuran Festival Bahasa dan Persuratan ‘Yang Berani Hidup’ dengan kerjasama Pusaka dalam membuka ufuk perbincangan dengan turut melibatkan tokoh-tokoh besar dari negara tetangga.

Konsep ekonomi kreatif ataupun seperti yang disebut oleh laporan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sebagai ekonomi jingga merupakan dasar yang cuba diterokai oleh Negeri Selangor. Walaupun aktiviti ekonomi kreatif ini telah wujud secara runcitan dalam kalangan masyarakat namun dengan penglibatan aktif oleh kerajaan, bidang ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan sekali gus memberi sumbangan kepada pertumbuhan ekonomi negara seperti di negara-negara yang lebih maju.

Semua ini dan banyak lagi menandakan iltizam Kerajaan Negeri selama ini dalam mengangkat gagasan seni-budaya di dalam kehidupan masyarakat dan bernegara. Tahun demi tahun, peruntukan untuk penghargaan atas karya seni diberi tumpuan besar dan dibuktikan antara lain dalam penganjuran Hadiah Sastera Selangor yang mempunyai prestij yang tersendiri dalam kalangan penulis dan peminat sastera.

Sudah tentu tidak semua program seni budaya mampu dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri kerana cabang-cabangnya banyak dan pelbagai. Namun dengan mengukuhkan tonggak-tonggak penting dalam seni budaya kita dapat membentuk ekosistem yang mampu wujud mandiri dan sentiasa menghasilkan seniman, penulis, penggiat teater, pelukis dan aktivis budayawan yang dapat menerbitkan karya-karya yang bermutu tinggi dan mengayakan khazanah budaya negara.

Dalam belanjawan lalu, telah disebut tentang inisiatif Bakat Muda Selangor yang akan menjadi pentas pemupukan bakat dalam bidang sastera, lukisan dan muzik. Dengan adanya ruang sebegini kita dapat menilai karya-karya yang dihasilkan oleh bakat-bakat muda di negara ini.

Dalam Belanjawan 2019 Dato’ Menteri Besar ada mencadangkan pembinaan Shah Alam Modern Arts (Sama) kerana beliau percaya sebagai sebuah negeri maju, Selangor perlu mempunyai galeri seni yang dapat dibanggakan. Galeri ini seharusnya mampu untuk mencerminkan seni kontemporari dan kebudayaan semasa di samping juga menyimpan koleksi-koleksi berharga pelukis-pelukis besar negara. Bukan mudah untuk membangunkan sebuah galeri seni bertaraf dunia dan disegani ramai kerana ada proses panjang dan teliti yang harus dilakukan. Namun Dato’ Seri Amirudin percaya usaha mengetengahkan Selangor sebagai aktor utama dalam industri kreatif di rantau asia tenggara tidak akan pernah berhenti.

 

 


Pengarang :