Bekas pemain lincah Pahang, Dinesh a/l Rajasingam kini sah menjadi ahli keluarga terbaru kem Gergasi Merah untuk mengisi posisi pertahanan kiri. Foto: FA Selangor
AGENDA SUKANKINI

Dinesh jadi pengganti terbaik Selangor FC, perkuat benteng

SHAH ALAM, 15 DIS: Bekas pemain lincah Pahang, R. Dinesh menjadi pilihan Selangor FC untuk memperkuat benteng pertahanan pasukan itu dalam menghadapi saingan kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021 yang dijadual bermula Februari depan.

Menurut kenyataan Selangor FC hari ini, pemain kelahiran Setapak, Kuala Lumpur, itu akan mengisi posisi pertahanan kiri, menggantikan K. Prabakaran yang tamat kontrak bersama pasukan itu bulan lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu beraksi selama empat musim bersama Pahang dan beliau adalah pemain ketiga diperkenalkan untuk menguatkan pasukan Selangor selepas Shahrel Fikri Md Fauzi dan Tim Heubach dari Jerman.

Sumber Grafik: Facebook FA Selangor

Memiliki kepantasan dan teknik kawalan bola yang baik, bekas pemain skuad negara bawah 16 tahun itu memiliki pengalaman luas termasuk pernah menjulang kejuaraan Piala AFF di Myanmar pada 2013.

Pengarah Teknikal Selangor FC Michael Feichtenbeiner, dalam kenyataan sama, menyifatkan pemain yang membuat penampilan dalam 16 perlawanan bersama skuad Tok Gajah itu adalah pilihan tepat bagi melengkapkan persediaan ‘The Red Giants’ untuk musim akan datang.

“Dinesh masih muda, namun sudah mempunyai pengalaman luas bermain dalam saingan Liga Super. Saya yakin beliau dapat membantu Selangor FC sebagai pemain pertahanan kiri atau sayap kiri dengan kemahiran dimilikinya.

“Kami bersyukur kerana memiliki seorang lagi pilihan pemain yang sesuai selain Zikri Khalili untuk menampung kehilangan Prabakaran yang dilepaskan pada hujung musim ini. Beliau adalah pengganti terbaik,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Dinesh menzahirkan keterujaannya untuk beraksi bersama Selangor FC dan berazam sedaya upaya memperkukuh skuad berkenaan selain menimba ilmu sebanyak mungkin daripada barisan jurulatih serta rakan sepasukan yang baharu.

-BERNAMA

 


Pengarang :