Dr Noor Hisham berkongsi gambar ketika membuat lawatan kerja. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Dr Noor Hisham titip pesan buat petugas barisan hadapan

KUALA LUMPUR, 31 DIS: “Niat di hati harus dikekalkan, apa jua cabaran yang mendatang, kita utuh berdiri untuk meneruskan perjuangan ini,” itu pesanan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah kepada semua petugas barisan hadapan dalam memerangi penularan Covid-19 di negara ini.

Beliau menitipkan pesanan itu menerusi satu video dokumentari pendek ‘Terima Kasih Frontliners Malaysia’ sebagai penghargaan kepada semua wira dan wirawati barisan hadapan yang bertungkus lumus bertugas tanpa henti, sepanjang masa sejak Disember 2019.

Dalam video berdurasi hampir lima minit itu, beliau mengingatkan walaupun tugas mereka dihimpit dengan tekanan dan rasa gusar, semua petugas harus cekal serta kembali kepada matlamat untuk memberikan perkhidmatan dan memutuskan rantaian penularan virus itu.

“Bukan pangkat yang kita idamkan, bukan pingat yang kita inginkan, bukan balasan wang ringgit yang kita impikan.

“Apa yang penting hanyalah keikhlasan menjadi pedoman dan tonggak perjuangan demi pesakit, masyarakat dan negara tercinta. Bukan masanya kita berbalah cari salah dan menuding jari tanpa arah.

“Semoga kita terus cekal berbakti dan mengatur langkah menuju kemenangan iaitu memutuskan rantai Covid-19 dalam negara kita,” katanya dalam video dokumentari pendek yang dimuat naik di Twitter dan Facebooknya, hari ini.

Video yang memuatkan lagu ‘Malaysia’ nyanyian penyanyi dan komposer terkenal Faizal Tahir itu, memaparkan usaha dan peranan serta babak-babak perjalanan suka duka serta perit jerih yang ditempuhi petugas barisan hadapan daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia, sepanjang setahun membendung penularan wabak maut itu.

Rata-rata pengguna laman media sosial turut meluahkan rasa sebak dan terharu selepas menonton video itu, selain mengucapkan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan.

– BERNAMA


Pengarang :