Petugas kesihatan melakukan persiapan bagi proses ujian saringan Covid-19 kepada orang ramai yang hadir membuat ujian saringan bersasar ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Dua lagi kluster baharu Covid-19 dikesan, keseluruhan 364 – KKM

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua lagi kluster baharu Covid-19 di Sabah, melibatkan Daerah Kota Kinabalu dan Tuaran.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster pertama iaitu Kluster View Kolombong membabitkan Daerah Kota Kinabalu dan Tuaran dengan kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada hari ini, hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga hari ini, sejumlah 76 individu disaring, dengan 40 kes dikesan positif Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kluster kedua ialah Kluster Talang-Talang melibatkan Daerah Kota Kinabalu, dengan kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada 23 November lepas hasil saringan individu bergejala.

Sehingga hari ini, seramai 67 individu disaring dengan 18 kes dikesan positif Covid-19.

Pertambahan dua kluser baharu di Sabah itu, menjadikan sejumlah 364 kluster dilaporkan sehingga hari ini, katanya.

Jumlah kluster yang ditamatkan pula ialah sebanyak 184, termasuk tiga hari ini iaitu Kluster Highway, Kluster Inai dan Kluster Jalan Meru.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 180 kluster. Daripada jumlah tersebut, 33 kluster melaporkan pertambahan kes.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Teratai (778 kes), Kluster Hentian (118 kes) dan Kluster Batu Tujuh (37 kes),” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :