Seramai 250 guru sekolah di Labuan menjalani ujian pengesahan dan saringan kedua Covid-19 serta tindak balas berantai polimerase di Pusat Kokurikulum Negeri Wilayah Persekutuan Labuan pada 8 Oktober 2020. Foto BERNAMA
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Bukit Gasing tawar saringan Covid-19 serendah RM30

SHAH ALAM, 30 DIS: Penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing boleh melakukan saringan Covid-19 menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dengan bayaran serendah RM30.

Wakil Rakyatnya, Rajiv Rishyakaran berkata saringan untuk individu kategori berpendapatan rendah (B40) dijalankan di PJ Polyclinic dan Klinik Kim di Petaling Jaya serta Klinik One Medic, Puchong.

“Syaratnya penduduk hanya perlu bawa kad pengenalan atau bil elektrik dan air sebagai bukti mereka adalah penduduk DUN ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata tawaran turut dibuka kepada orang awam sama ada warganegara atau warga asing dengan caj dikenakan hanya RM70.

Rajiv menjelaskan harga yang ditawar berpatutan berbanding saringan RTK-Ag di tempat lain yang berharga lebih RM130.

Tambahnya, tiada temujanji perlu dibuat sebaliknya mereka boleh terus ke klinik tersebut.

“Inisiatif ini bermula sejak 6 November lalu dan masih berjalan. Tujuan kita buat adalah memastikan lebih ramai disaring demi mengekang penularan Covid-19,” katanya.


Pengarang :