ADN Pandamaran, Tony Leong Tuck Chee meninjau lokasi saringan Covid-19 percuma secara bersasar di Taman Bayu Perdana, Klang pada 23 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Pandamaran jalani 12 operasi sanitasi sejak PKP

KLANG, 24 DIS: Sebanyak 12 operasi sanitasi dan nyahkuman dijalankan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Tony Leong Tuck Chee berkata proses itu membabitkan kawasan perumahan dan premis perniagaan bagi mencegah penularan Covid-19.

“Ini merupakan salah satu tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu sekiranya ada kes positif berlaku dalam kawasan perumahan maka sanitasi perlu dijalankan.

“Bagi premis perniagaan pula, nyahkuman dilakukan kerana Pandamaran sering menjadi lokasi keluar masuk penduduk termasuk orang luar, jadi penduduk lega apabila ia dilaksana,” katanya ketika meninjau lokasi Saringan Komuniti di Jalan Batu Unjur 3A, Taman Bayu Perdana semalam.

Beliau menambah pihak swasta yang mahu menjalankan sanitasi di premis mereka disaran memohon kepada Pusat Khidmat Masyarakat Pandamaran untuk pertimbangan.

Tony Leong juga menyeru kerajaan mengambil tindakan sewajarnya dengan menutup sepenuhnya kilang yang dikesan mencatat lebih lima jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja.

“Kita sudah hantar surat kepada Majlis Keselamatan Negara namun tiada maklum balas. Kita akui bahawa ekonomi itu penting tetapi perkara ini tidak boleh dibiarkan dan jangan tunggu sehingga ratusan kes dicatat baru mereka mahu bertindak.

“Sebagai contoh, banyak kes positif dilaporkan di Bandar Sultan Suleiman dan kawasan tersebut seperti tiada kawalan. Kita bimbang jika penyakit ini dibawa keluar ke tempat lain jika tiada tindakan sedemikian,” katanya.


Pengarang :