Sultan Sharafuddin Idris Shah menggemari lukisan potret dan peristiwa bersejarah di negara ini. Foto NSTP
BERITA UTAMARENCANA

DYMM Sultan Sharafuddin minati lukisan peristiwa, potret

Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020

Oleh Norrasyidah Arshad

Di sebalik kegemaran terhadap kegiatan sukan lasak, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut mencintai bidang seni terutama lukisan. Malah, baginda memiliki koleksi potret dan susur-galur keluarga baginda.

Baginda juga menggemari lukisan berdasarkan peristiwa bersejarah di negara ini, antaranya pengisytiharan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan perjanjian penyerahan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974.

Mengikut Berita Harian, peristiwa itu dilakar semula melalui lukisan bersaiz besar. Bagi menjayakannya, baginda memberi kepercayaan kepada Datuk Azman Yusof sebagai Pelukis Diraja Selangor pada 18 Mac 2010.

Bakat Azman menghasilkan karya berbentuk potret, pemandangan mahupun peristiwa amat dikagumi baginda. Malah, karya Azman turut disukai orang ramai kerana hasil kerjanya penuh estetika.

Selain itu, baginda pernah meminta kakitangan memperaga pakaian seragam pasukan keselamatan dan busana istiadat lama yang ada dalam simpanan untuk dilukis semula bagi menghargai sejarah lampau.

Sultan Sharafuddin juga pernah meminta Azman melukis semula beberapa setem kesayangan baginda. Lukisan itu kemudian dipamer di ruang Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Shah di Klang.

Bagi berkongsi minat terhadap seni itu bersama rakyat, baginda mempamerkan segala hasil lukisan di bangunan dua tingkat itu yang dibuka kepada umum sejak 19 Oktober 2007.

Galeri itu tidak hanya mempamerkan karya lama sahaja malah menempatkan karya baharu di situ.

Mengikut majalah Massa pada 2003, Sultan Selangor juga meminati kraftangan. Baginda memiliki pelbagai koleksi dalam dan luar negara.

Minat itu melambangkan keperibadian baginda yang menghargai kemampuan dan kebolehan individu berkemahiran.

Mengikut Utusan Malaysia pada 2003, Sultan Sharafuddin kerap menyarankan kursus atau bengkel khas untuk golongan wanita mendalami pengetahuan kraftangan tempatan sebagai warisan bangsa.

Baginda berpandangan bidang itu mampu pergi jauh dan dijadikan aktiviti untuk menambah pendapatan keluarga. Kenyataan itu menunjukkan baginda tidak mahu kraftangan lapuk ditelan zaman.

Baginda juga pengerusi Galeri Shah Alam dan pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Seni Selangor Darul Ehsan pada 1991.

Galeri seni

Pada tahun sama, Galeri Seni berhampiran Taman Tasik Shah Alam dibangunkan Yayasan Seni Selangor yang kekal berfungsi hingga kini. Proses ubah suai galeri itu menelan belanja kira-kira RM500,000 dengan menampilkan ciri-ciri ukiran tradisional. Galeri itu dirasmikan ayahanda baginda.

Sultan Sharafuddin yang ketika itu bergelar Raja Muda menitahkan galeri itu dijadikan pameran karya pelukis tempatan dan menjadi pusat kegiatan seni berikutan Selangor ramai pelukis tempatan berbakat.

Ketika mula beroperasi, galeri itu mempamerkan hampir 300 lukisan hasil karya 90 pelukis.

Ketika masih pemangku Raja Selangor, baginda juga mencadangkan Shah Alam dijadikan bandar seni dan budaya. Langkah itu dapat menggerakkan lebih banyak kegiatan seni dan budaya selain menjadi tarikan penggiat industri untuk menghasilkan karya bermutu tinggi.

Pada 31 September 2017, Sultan Selangor berkenan merasmikan pameran koleksi peribadi baginda di Galeri Prima Balai Berita Bangsar. Melalui pameran bertema ‘Terrains of the heart’, sebanyak 33 lukisan 14 pelukis tempatan dipamer antara 25 September hingga 20 Oktober tahun sama.

Selain koleksi peribadi, pameran itu turut memperaga 47 foto baginda seawal tahun 1950-an. Pameran itu mencipta sejarah kerana ia galeri pertama di negara ini yang mempamer koleksi baginda kepada umum.

Selain itu, baginda turut menggemari bidang fotografi selain mengumpul setem, topi, keris dan senjata Melayu lama.


Pengarang :