BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

DYTM Tengku Amir Shah hulur bantuan Covid-19

Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020

OLEH AFIX REDZUAN

Kesusahan yang dialami rakyat akibat penularan Covid-19 mendorong Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berusaha membantu meringankan beban mereka.

Baginda melalui Selangor Youth Community (SAY) dengan kerjasama Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) membantu menyediakan peralatan pelindungan diri (PPE) kepada petugas hadapan di Hospital Shah Alam.

Selain itu, YRMS turut menganjur projek ‘Help-U’ bagi meringankan perbelanjaan makanan pelajar yang terkandas di kampus akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Fasa pertama projek bersama SAY dibuat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) membabitkan 1,900 pelajar. Sebanyak 1,500 barangan makanan diagih kepada mereka.

Selain itu, Tengku Amir Shah menerusi Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) meneruskan bantuan raya seperti tahun-tahun sebelum ini yang dikredit terus ke akaun 7,420 anak yatim atau penjaga.

Kali ini, sebanyak RM742,000 diperuntuk kepada mereka hasil sumbangan Majlis Agama Islam Selangor, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat korporat.

Tengku Amir juga menjadikan kegiatan sukan untuk mendapatkan sumbangan dengan mengilhamkan kayuhan kembara lima hari bagi mengumpulkan bantuan peralatan kepada petugas hadapan selain sumbangan buat golongan memerlukan.

Baginda turut melakukan kayuhan sejauh 80km ketika menyempurnakan penutupan program berbasikal Selangor 600: ‘Our Community, Our Home’ bersama tiga pelumba iaitu Mariana Mohammad, Adila J Sam dan Agnes Lim ke garisan penamat.

Sepanjang 600km berbasikal, tiga pelumba menyelusuri Sekinchan, Bukit Fraser, Kuala Lumpur, Sepang sebelum berakhir di Perkampungan Budaya Mah Meri, Pulau Carey.

Majukan sukan

Bola sepak antara sukan keutamaan Tengku Amir Shah selaku presiden FAS. Justeru, baginda sentiasa memastikan perkembangan dan kemudahan sukan dalam keadaan baik.
Melalui terajunya, pasukan bola sepak Selangor kini dikenali sebagai Kelab Bolasepak Selangor (Selangor FC) selepas proses penswastaan kelab diluluskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 29 September 2020.

Namun, logo keramat berbentuk perisai berserta jata negeri pada bahagian atas dikekalkan. Kelainan berbanding logo asal hanya pada perkataan persatuan yang digantikan dengan kelab bermula 1 Disember lalu.

Setiausaha Agung FAS Dr Johan Kamal Hamidon pula dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Selangor FC bagi memperkukuh pentadbiran kelab berkenaan.

Selain itu, FAS juga bekerjasama dengan Les’ Copaque bagi mencungkil bakat baharu menerusi FAS Soccer School. Peneraju industri animasi negara itu bersetuju menaja FAS Soccer School sebanyak RM120,000 untuk setahun.

Les’ Copaque Production turut diumumkan sebagai Rakan Program Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi Rasmi Red Giants. Sehingga kini, enam sekolah rendah membabitkan kira-kira 500 murid menyertai program itu.

Bagi menjayakan pembangunan bola sepak, peruntukan RM20 juta disediakan iaitu RM10 juta daripada Kerajaan Negeri manakala bakinya sumbangan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Pengumuman dalam Belanjawan Negeri 2021 manifestasi kepercayaan terhadap perancangan jangka panjang melalui urus tadbir Tengku Amir Shah selaku presiden FAS.


Pengarang :