Ketua Pengarah AADK Dato’ Seri Zulkifli Abdullah bercakap kepada media selepas merasmikan Studio Inspirasi AADK Selangor di Bangunan Persekutuan, Petaling Jaya pada 17 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Edar dadah guna khidmat penghantaran, kaedah terbaru ketika pandemik

SHAH ALAM, 17 DIS: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengesan ada segelintir pengedar dadah menggunakan khidmat penghantaran sejak Covid-19 melanda negara.

Ketua pengarahnya berkata modus operandi terbaru itu digunakan kerana adanya sekatan perjalanan dan kawalan ketat oleh penguat kuasa di pintu sempadan negara.

“Bila mereka susah hendak jual dadah secara terbuka, maka mereka gunakan perkhidmatan penghantaran. Namun didapati trend ini bukan saja berlaku di Malaysia, tetapi turut melanda negara Asean yang lain.

“Perkhidmatan penghantaran dadah di negara-negara Asean menunjukkan peningkatan dan disebabkan itu kita perlu kerjasama semua pihak untuk menanganinya,” kata Dato’ Seri Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Studio Inspirasi AADK Selangor di Bangunan Persekutuan Petaling Jaya, hari ini. Hadir sama Pengarah AADK Selangor Dr Nazira Sadiron.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata pihaknya bersama agensi penguat kuasa lain akan memantau pelabuhan di seluruh negara bagi mengekang pengedaran dadah menerusi modus operandi itu.

“Selain pelabuhan, kita juga akan meninjau jeti-jeti haram yang kebanyakannya terletak di Pantai Timur,” katanya.


Pengarang :