AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Eky sah sertai Selangor FC bagi musim 2021

KUALA LUMPUR, 8 Dis: Teka-teki berhubung masa depan penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi akhirnya terjawab selepas beliau sah menyertai Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim hadapan.

Penyertaan pemain Perak berusia 26 tahun berkenaan yang mesra dengan panggilan ‘Eky’ itu diumumkan oleh Selangor FC menerusi laman sesawang mereka iaitu www.selangorfc.com semalam.

Ketua Pengawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon yakin kehadiran Muhammad Shahrel Fikri mampu membantu skuad Gergasi Merah mencapai lebih banyak kejayaan pada musim hadapan.

Beliau menjelaskan pengurusan Selangor FC sudah lama mengikuti perkembangan Muhammad Shahrel Fikri yang mempamerkan aksi memberangsangkan ketika bersama Perak dan skuad kebangsaan.

“Alhamdulillah, setelah beberapa bulan, (Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Selangor) Michael (Feichtenbeiner) dan (Ketua jurulatih) Karsten (Neitzel) sangat gembira kerana Selangor FC telah berjaya mendapatkan Shahrel sebagai pemain utama dan pemain tersohor kita untuk musim akan datang,” jelas Dr. Johan.

Dalam pada itu, Muhammad Shahrel Fikri jelas teruja kerana sah menyertai Selangor FC dan mengakui tidak sabar untuk memulakan perjalanan baharu bersama skuad Gergasi Merah.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada pengurusan Selangor FC, terutamanya kepada (pengerusinya) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah atas ruang dan peluang yang diberikan. Saya harap penyokong Selangor akan mengalu-alukan kedatangan saya ke Shah Alam,” jelasnya.

Muhammad Shahrel Fikri yang meledak 10 gol pada musim ini, bakal digandingkan dengan pemenang Anugerah Kasut Emas Liga Super 2020, Ifedayo Olusegun dari Nigeria serta pemain muda Selangor II, Ahmad Danial Ahmad Asri yang diserapkan ke dalam skuad utama Selangor FC.

Eky yang telah membuat 14 penampilan, serta menjaringkan lima gol bersama skuad Harimau Malaya, pernah menabur bakti bersama pasukan PKNP FC yang kini dikenali sebagai Perak II selain kelab Liga Perdana Thailand, Nakhon Ratchasima sebagai pemain pinjaman selama semusim pada 2018.

– BERNAMA


Pengarang :