Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang dan Pejabat Tanah dan Tanah Gombak merobohkan bengkel menyimpan dan membaiki jentera berat yang dibina tanpa kebenaran di tebing Sungai Garing, Rawang pada 1 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Empat lagi premis berhampiran Sungai Rawang bakal diroboh

GOMBAK, 2 DIS: Empat lagi premis yang dibina tanpa kebenaran serta berisiko menyebabkan pencemaran Sungai Rawang akan dirobohkan.

Yang dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata notis pengosongan diberikan kepada pemilik premis dan tindakan sita diambil sekiranya gagal berbuat demikian.

“Daripada lapan premis dikesan sepanjang Sungai Rawang, kita telah meroboh tiga bengkel menyimpan dan membaiki jentera berat dalam tempoh seminggu.

“Selain itu sebuah premis lagi dibina atas tanah persendirian, jadi kita beri peluang pemilik untuk memenuhi syarat teknikal seperti pengezonan atau kebenaran merancang,” kata Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor.

Beliau ditemui selepas mengiringi EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han meninjau operasi meroboh sebuah bengkel menyimpan dan membaiki jentera berat berhampiran Taman Garing semalam.

Pada 24 November, pihak berkuasa meroboh dua bengkel menyimpan dan membaiki jentera berat yang terletak hanya satu meter dari Sungai Rawang.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak lapan premis yang dibina tanpa kebenaran di tebing Sungai Rawang akan diroboh.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari premis melibatkan enam bengkel jentera berat dan dua kilang kitar semula.

Penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang dan Pejabat Tanah dan Tanah Gombak merobohkan bengkel menyimpan dan membaiki jentera berat yang dibina tanpa kebenaran di tebing Sungai Garing, Rawang pada 1 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :