EXCO Kerajaan Negeri Ir Izham Hashim menjawab pertanyaan media selesai majlis penyerahan sumbangan kepada kebun komuniti di Seksyen 35, Shah Alam pada 13 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Galak guna baja kompos, elak cemar alam sekitar

SHAH ALAM, 13 DIS: Kerajaan Negeri menggalakkan masyarakat bandar dan pinggir bandar yang gemar melakukan aktiviti bercucuk tanam untuk menggunakan baja kompos.

EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani berkata ia berikutan penggunaan baja kimia boleh merosakkan struktur tanah dan mendatangkan pencemaran alam sekitar.

“Kita harap masyarakat mulai sedar dan beralih kepada penggunaan baja kompos kerana penggunaannya secara berterusan akan membantu tanaman hidup subur dan dapat kurangkan serangan serangga perosak,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Serahan Bantuan Kebun Komuniti 2020 di Dewan Bunga Bakawali Seksyen 35 Alam Impian di sini hari ini.

Pada majlis sama, Izham turut menyerahkan 10 beg baja kompos dan peralatan kebun bagi menggalakkan penanaman kebun komuniti kepada empat pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Klang.

Katanya, penambahan kebun tersebut secara berperingkat itu bertujuan menggalak masyarakat di bandar bercucuk tanam tanaman yang berupaya mendatangkan hasil.


Pengarang :