EXCO Kerajaan Negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni bercakap kepada Media Selangor selepas majlis Serahan Bekalan Makanan Kering Dan Persekolahan Kepada Penghuni Rumah Pemulihan Riqab di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 24 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Khidmat jalur lebar, IT di institusi agama dinaik taraf

SHAH ALAM, 24 DIS: Kerajaan Selangor akan meningkatkan perkhidmatan jalur lebar dan teknologi maklumat (IT) di semua institusi agama tahun hadapan.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata perkara itu menjadi keutamaan kerana lebih banyak urusan bersama pelanggan dijalankan secara dalam talian selepas ini susulan pandemik Covid-19.

“Kita fokus untuk memperkasa institusi yang ada dalam jabatan agama Islam seperti mahkamah, Jabatan Pendakwaan Syariah dan Jabatan Mufti.

“Oleh kerana dijangkakan pandemik agak panjang, jadi sistem berkaitan akan dinaik taraf sesuai dengan cadangan diterima untuk membeli peralatan antaranya tablet dan kemudahan internet,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan cek cura bantuan makanan kering kepada 26 Rumah Pemulihan Riqab (RPR) di Bangunan Sultan Idris Shah di sini hari ini.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata pendekatan itu juga bagi mengurangkan kehadiran orang awam ke premis terbabit sekali gus mengelak jangkitan wabak.

“Jika dapat lihat di Mais (Majlis Agama Islam Selangor) hari ini, pelanggan datang mengikut janji temu dan kita percaya ia dapat dikurangkan dengan orang ramai beralih kepada perhubungan secara maya,” katanya.


Pengarang :