EXCO Pembangunan Generasi Muda, Belia dan Sukan, Mohd Khairuddin Othman (kiri) bersama Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin ketika program bual bicara Peluang Kerja, Gilap Potensi Anak Muda di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 30 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Lapan juta interaksi dalam e-sukan sepanjang PKP

SHAH ALAM, 1 DIS: Hampir lapan juta interaksi direkodkan menerusi lima acara sukan elektronik dilangsung secara maya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

EXCO sukan berkata program aktif virtual anjuran Kerajaan Negeri disertai 237,606 penggemar sukan PlayerUnknown’s Battleground (PUBG) Mobile Legend, larian, seni pertahan diri, FIFA dan persembahan muzik jalanan belia.

“Selangor antara yang terawal di negara ini menganjurkan program aktif virtual malah ada acara (interaksi) sampai sejauh ke Thailand, Indonesia, Singapura dan United Kingdom.

“Kita menawarkan hadiah wang tunai lumayan untuk kesemua pemenang kerana percaya ia mampu menggalakkan penglibatan aktif belia dalam aktiviti sukan,” kata Mohd Khairuddin Othman pada program bual bicara: Peluang Kerja, Gilap Potensi Anak Muda disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Turut sama, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras berkata tempoh PKP tidak menghalang Kerajaan Negeri mencari mekanisme baharu yang berupaya menarik minat belia dan percaya pembangunan e-sukan dapat melatih dan memberi ruang kepada anak muda bertanding secara lebih profesional pada masa akan datang.

Belanjawan Selangor 2021 menyediakan peruntukan RM3 juta bagi mengembangkan bidang e-sukan sebagai sebahagian agenda pendigitalan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif yang menyasar belia berupaya memangkin ekosistem e-sukan dengan penganjuran kejohanan amatur.


Pengarang :