Mohd Zawawi Ahmad Mughni memberi penjelasan beberapa isu dalam program bual bicara bersama Media Selangor di Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Manfaat tanah terbiar, jadikan ladang hasil daging halal tempatan

SHAH ALAM, 27 DIS: Tanah terbiar di seluruh negara boleh dimanfaatkan sebagai lokasi penternakan daging lembu dan tenusu, kata EXCO industri halal.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata tindakan itu sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan daging import.

“Kita wajar bertindak segera untuk mengurangkan kebergantungan ini. Malah, sumber daging halal tempatan boleh dimajukan dengan adanya dasar baharu tentang industri makanan halal.

“Saya yakin sekiranya tanah-tanah terbiar ini diusahakan secara besar-besaran menjadi ladang ternakan, negara boleh menjadi pengeluar utama dalam produk daging tempatan, juga diyakini halal,” katanya kepada SelangorKini.

Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau keadaan lembu korban untuk diedarkan kepada 425 masjid seluruh negeri di Ladang HMA Kasturi Sdn Bhd, Rawang pada 19 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Mohd Zawawi yang juga EXCO Hal Ehwal Pengguna itu berkata Kerajaan Persekutuan wajar memberi tumpuan kepada agenda agro tani yang diusahakan rakyat tempatan.

“Kerajaan perlu terus fokus kepada pembangunan pertanian, ternakan dan perikanan yang dimajukan usahawan dalam negara.

“Amatlah rugi sekiranya golongan ini tidak dibantu kerana kita mempunyai sumber yang baik,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil, dan Argentina sebelum membungkusnya semula dengan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.


Pengarang :