Exco Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berucap pada majlis perasmian Klinik Usahawan Selangor di PKNS Bizpoint, Seksyen 7 Shah Alam pada 23 Julai 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

EXCO: Putrajaya tiada hala tuju ekonomi, gagal bantu peniaga kecil

SHAH ALAM, 10 DIS: Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai hala tuju yang jelas bagi mengukuhkan ekonomi negara ekoran berdepan kemelut politik berterusan, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata situasi itu menyebabkan Putrajaya gagal mewujudkan mekanisma jelas bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tunjang ekonomi negara.

“Sedangkan PKS rata-ratanya adalah dalam kalangan Melayu dan Bumiputera yang teruk terjejas.

“Keparahan ekonomi yang melanda negara pada ketika ini perlu segera ditangani sebaiknya. Impak pandemik Covid-19 tidak lagi boleh dijadikan alasan secara berterusan dalam norma baharu,” katanya dalam kenyataan.

Kerajaan Selangor melakukan pelbagai langkah untuk membantu usahawan PKS yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Usaha meliputi insentif khas penjaja berlesen berjumlah RM40 juta, pengecualian sewa premis (RM12 juta), penangguhan bayaran pinjaman Hijrah (RM70 juta) dan inisiatif pembiayaan tunai ‘Selangor Advance’ (RM100 juta).

Kerajaan Negeri juga memperkenal rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) sebagai tempat pemasaran dan jualan dalam talian khususnya untuk usahawan luar bandar.

 


Pengarang :