EXCO Kerajaan Negeri Mohd Khairuddin Othman menyerahkan barangan keperluan asas ketika program Rakan Muda Prihatin “We Care” di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Paya Jaras, Sungai Buloh pada 6 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: RM4 juta diperuntuk laksana RiDE, sasar 3,000 peserta

SHAH ALAM, 6 DIS: Kerajaan Negeri menyediakan RM4 juta bagi menjayakan Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) sehingga tahun depan.

EXCO pembangunan generasi muda berkata program e-panggilan bermula Ogos lalu semakin mendapat tempat dalam kalangan belia dengan penyertaan bertambah dari masa ke semasa.

“Kita menyasarkan 3,000 peserta menyertai RiDE dalam setahun. Banyak manfaat disediakan seperti setiap seorang menerima RM570 dan berpeluang mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), saya mengalu-alukan lebih ramai sertai program ini,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Rakan Muda Prihatin “We Care” di perkarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras hari ini.

Antara syarat menyertai RiDE ialah pemohon mesti berumur 17 hingga 30 tahun, mempunyai pendapatan di bawah RM2,000 bagi yang bekerja serta memperoleh lesen motosikal B2 bermula Januari tahun ini.

RiDE menetapkan sasaran jumlah tersebut dengan penyertaan belia miskin bandar mendapat subsidi lesen motosikal RM370, selain boleh mengikuti kursus e-panggilan bernilai RM200 dan menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Mereka yang berminat boleh memohon inisiatif itu menerusi pautan http://msnselangor.gov.my .


Pengarang :