Program Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar diadakan di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO saran hukum individu tipu status kesihatan Covid-19

SHAH ALAM, 28 DIS: Individu yang menyembunyikan status kesihatan Covid-19 sehingga menyebabkan penularan boleh dikenakan tindakan undang-undang, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata saranan itu dapat memastikan petugas barisan hadapan terhindar jangkitan memandangkan mereka merupakan kelompok penting berdepan virus itu.

“Barisan hadapan kita perlu dilindungi. Mungkin sebelum berjumpa doktor atau mendapat rawatan, pesakit perlu mengisi borang deklarasi tidak bergejala.

“Pengambilan suhu badan dan pertanyaan lisan sahaja tidak mencukupi. Individu yang berbohong boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merayu masyarakat agar tidak menipu petugas kesihatan dengan menyembunyikan status kesihatan mereka ketika datang mendapatkan rawatan atau untuk saringan Covid-19.

Ia susulan perkongsian seorang doktor menerusi Facebook mengenai tindakan pesakit menipu ketika menjalani saringan kesihatan menyebabkan beliau menjadi mangsa wabak.

Pada 22 Disember lalu, Dr Noor Hisham mendedahkan 1,880 petugas kesihatan disahkan positif Covid-19 menerusi saringan yang dibuat setakat 15 Disember.


Pengarang :