Rodziah Ismail bercakap pada sidang media berkaitan perumahan di Hotel De Palma Seksyen 19, Shah Alam pada 22 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Selangor rancang bangun semula rumah pangsa uzur

SHAH ALAM, 23 DIS: Kerajaan Selangor mempunyai perancangan untuk membangunkan semula semua rumah pangsa yang uzur di negeri ini.

EXCO Perumahan berkata sehubungan itu pihaknya sedia mempertimbang permohonan mana-mana pemaju untuk membaik pulih perumahan terbabit.

“Kita memang ada perancangan rumah yang ingin dipulihkan, ‘diremajakan’ dan dibangunkan semula sepenuhnya malah kita sudah buat ketiga-tiga dasar ini dan sekarang pihak yang ingin melaksanakannya perlu mengikut garis panduan, kata Rodziah Ismail pada sidang media di Hotel De’Palma di sini semalam.

Beliau berkata Kerajaan Negeri berjaya memulihkan sebuah rumah pangsa di bawah projek Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Datum Jelatek, Taman Keramat, Ampang.

“Justeru, saya percaya ada banyak lagi tempat yang boleh kita bangunkan bersama,” katanya mengulas hasrat Kementerian Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan program pembaharuan bandar di semua rumah pangsa yang mencecah usia 40 tahun termasuk projek persendirian dibangunkan pemaju swasta.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata unit kediaman rumah pangsa yang tidak sesuai diduduki, bersaiz kecil dan berstruktur lama akan dibina semula dengan pelbagai kemudahan serta kelengkapan sesuai.


Pengarang :