Penduduk di kawasan perumahan AU3, Lembah Keramat menadah air dari pili awam pada 5 September 2020 berikutan gangguan bekalan air sejak beberapa hari lalu. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Gangguan bekalan air: Jangan salahkan Air Selangor sahaja

SHAH ALAM, 8 DIS: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tidak wajar dipersalahkan berhubung isu gangguan bekalan air di negeri ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Institut Sains Samudera dan Bumi Universiti Malaya, Prof Dr Sumiani Yusof berkata agensi hanya merawat air yang diterima daripada sungai.

“Kita tahu Air Selangor sentiasa disalahkan sekiranya terdapat gangguan bekalan air tetapi sungai itu sebenarnya adalah entiti yang mana ekosistemnya perlu dijaga semua.

“Pencemaran ini bermula dari lembangan sungai, oleh itu penguatkuasaan amat penting bagi mengawasi sumber air, dan ini memerlukan kerjasama erat antara agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan supaya bekalan air tidak lagi tercemar,” katanya dalam sebuah rancangan televisyen.

Dr Sumiani berkata sebarang bentuk pembangunan berdekatan lembangan sungai yang mendatangkan risiko pencemaran sumber air perlu dipantau segera.

“Pihak berkuatkuasa perlu memastikan kilang atau industri yang berisiko mendatangkan pencemaran tidak sewenang-wenangnya diberi kelulusan.

“Pada masa sama, pencemaran ini boleh dicegah dengan meningkatkan penggunaan teknologi dalam pemantauan. Ia menghalang individu tidak bertanggungjawab daripada melakukan pencemaran,” katanya.

Sebelum ini, pihak berkuasa tempatan turut melaksanakan pelbagai usaha bagi menangani isu pencemaran air dengan menjalankan operasi bersepadu merobohkan premis tanpa kebenaran yang dibina di rizab sungai.


Pengarang :